Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memperuntukkan hampir RM165 juta bagi membiayaai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Jumlah ini meliputi 255,997 pemilik pengusaha iaitu pekebun yang mengusahakan sendiri kebun dengan keluasan tidak melebihi 2.5 hektar dan 18,642 orang penoreh bukan pemilik.

“Mereka akan menerima bantuan sebanyak RM600 dan akan dibayar dalam dua peringkat; RM300 pada akhir tahun ini dan RM300 lagi pada awal tahun 2019,” kata Menterinya Datuk Seri Azmin Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan.

Tambah Azmin pihak kerajaan sedar pekebun kecil getah terkesan secara langsung akibat kemerosotan harga komoditi getah peringkat global.

“Keadaan ini semakin meruncing akibat musim tengkujuh yang menjejaskan penjanaan ekonomi mereka,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri Kedah menyambut baik pengumuman tersebut yang akan memanfaatkan 45,297 pekebun kecil di Kedah.

“Kerajaan Negeri turut menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan harga lantai getah skrap daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari tahun depan, seperti yang diumumkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah,” kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.