NATIONAL
RM4.7 juta kos baiki 14 masjid, 37 surau kritikal di Johor

Mohd Fared Mohd Khalid berkata peruntukan itu akan disalurkan melalui Tabung Pembangunan Masjid dan Surau Negeri Johor, ditubuhkan pada 2020. - Gambar fail/Bernama
ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 14 masjid dan 37 surau di Johor dikenal pasti dalam keadaan kritikal serta perlu dibaiki dengan anggaran kos keseluruhan RM4.7 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata peruntukan itu akan disalurkan melalui Tabung Pembangunan Masjid dan Surau Negeri Johor, ditubuhkan pada 2020.
"Bagi 2025 jumlah kutipan tabung itu mencecah RM1,891,425 setakat ini, dengan sebahagian besar sumbangan diterima daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan orang awam melalui platform dalam talian seperti Toyyibpay serta Boost.
"Tabung ini bertujuan memelihara dan mempertingkatkan keadaan fizikal serta infrastruktur masjid dan surau kariah diluluskan kerajaan negeri," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.Mohd Fared berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fuad Tukirin ( BN-Bukit Naning) mengenai kerosakan masjid belum dibaiki di Johor.
Beliau berkata Tabung Wakaf Rakyat Johor ditubuhkan pada 2016 berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM12 juta setakat tahun lepas, dengan dana itu digunakan untuk pembangunan wakaf termasuk dalam bidang ekonomi, kesihatan dan pendidikan.
"Sebanyak RM7 juta daripada jumlah tersebut telah dibelanjakan bagi pembinaan masjid di Kampung Melayu Bukit Batu di Kulai selain digunakan untuk baik pulih masjid dan surau sekolah, pembelian empat van jenazah, pelaksanaan program pendidikan dan intervensi tahfiz di tiga sekolah menengah," katanya.
Justeru beliau berkata kerajaan negeri komited memastikan baik pulih masjid dan surau dilaksanakan dengan teratur serta mengikut keperluan semasa demi keselesaan dan kesejahteraan jemaah.
Mohd Fared berkata kerajaan negeri turut menggalakkan sumbangan orang ramai ke tabung tersebut bagi menyokong usaha memulihara dan mengimarahkan rumah ibadat umat Islam di Johor.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami