KUALA KANGSAR: Seorang remaja perempuan bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas dua tuduhan bersubahat dengan empat lelaki sehingga menyebabkan seorang remaja perempuan bawah umur lain dirogol, dua minggu lalu.

Remaja itu yang namanya diraksiakan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa  Redzuan.

Mengikut kertas pertuduhan, remaja itu yang berusia 16 tahun, dituduh bersubahat dengan tiga lelaki dengan cara membenarkan dan menyebabkan seorang remaja berusia 15 tahun 11 bulan dirogol.

Tiga lelaki itu ialah Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20, Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21 dan seorang lagi yang berusia 18 tahun.

Tertuduh yang beralamat di Puchong, Selangor, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Dovenby Sungai Siput, antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, 14 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 108 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa bersubahat dengan seorang lelaki lain, Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, dengan cara membenarkan dan menyebabkan remaja perempuan bawah umur yang sama dirogol.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Felda Lasah, Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput, antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, 17 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dengan sebatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 untuk setiap pertuduhan di samping syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis berhampiran, sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Muhamad, manakala tertuduh diwakili peguam Navin Punj dan Mahajoth Singh.