KUALA LUMPUR: Gobind Singh Deo kembali menganggotai Jemaah Menteri apabila dilantik memegang portfolio Kementerian Digital dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan hari ini.

Gobind, 50, pernah menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia sewaktu Pakatan Harapan (PH) pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ketika mengemudi kementerian itu, Gobind melakukan beberapa perubahan termasuk menamatkan siaran televisyen analog bagi membolehkan pengguna beralih ke siaran televisyen digital myFreeview sepenuhnya.

Dalam arena politik, karier anak kedua daripada lima beradik kepada mendiang Karpal Singh, pemimpin veteran DAP itu bermula apabila beliau menjadi antara 13 muka baru yang disenaraikan DAP untuk bertanding di Parlimen Puchong pada PRU 2008 yang kemudian menyaksikannya memenangi kerusi itu daripada penyandang, Lau Yeng Peng (Barisan Nasional-Gerakan) dengan majoriti 12,593 undi.

Sejak itu, Gobind diberi kepercayaan memegang jawatan-jawatan penting dalam DAP antaranya dilantik Ahli Jawatankuasa Pusat DAP bagi penggal 2008/2011, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor pada 2010 dan Anggota Biro Pakatan Rakyat DAP (Biro Perundangan) bagi penggal 2012/2015 serta Pengerusi DAP Selangor sejak 2018.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu yang mempertahankan kerusi Parlimen Puchong selama dua penggal sejak PRU13 juga merupakan antara calon yang mencipta sejarah pada PRU15 kerana menang dengan majoriti besar iaitu 124,619 undi, walaupun telah bertukar kerusi ke Parlimen Damansara.

Meskipun menyatakan dirinya dipelawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan selepas PRU15, Gobind bagaimanapun membuat keputusan menolaknya atas pertimbangan sendiri.

-- BERNAMA