MELAKA: Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilihat kombinasi mantap yang akan memperkukuh lagi pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pertukaran portfolio dan pertambahan kementerian baharu juga diyakini dapat memacu agenda kerajaan MADANI, sekali gus menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

"Selain itu, pertambahan dua lagi wakil daripada UMNO iaitu Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad diyakini mampu membantu membina negara bersama kerajaan MADANI.

"Saya ucapkan tahniah kepada lantikan menteri dan timbalan menteri daripada semua parti yang akan menjadi tunjang memantapkan kerajaan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas Makan Malam Bersama Warga Pendidik Negeri Melaka 2023, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang rombakan Kabinet baharu yang diumumkan Anwar semalam termasuk masing-masing lima pelantikan muka baharu bagi jawatan menteri dan timbalan menteri.

Rombakan Kabinet dan penyusunan semula kementerian melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kementerian Komunikasi dan Digital pula diasingkan masing-masing kepada Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala timbalan menteri bertambah daripada 27 kepada 29, sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini ialah 60 orang. - BERNAMA