KUCHING: Hasil ujian calitan bagi Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) COVID-19 yang negatif antara syarat utama sebelum individu dibenarkan masuk ke Sarawak.

Menjelas lanjut, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menetapkan ujian calitan RTK Antigen yang menggunakan air liur tidak akan diterima.

Setiap individu perlu melakukan ujian saringan COVID-19 di klinik atau makmal kesihatan bagi mendapatkan dokumen pengesan dan bukan dilakukan secara kendiri untuk dimuat naik ke dalam sistem EnterSarawak.

“Pemohon juga perlu menyertakan bukti dos lengkap vaksinasi selepas 14 hari dari tarikh dos kedua untuk vaksin jenis Pfizer, Sinovac, Astrazeneca dan 28 hari untuk vaksin jenis CanSino dan Jansen,” jelas JPBNS dalam kemaskini panduan EnterSarawak pada Rabu.

Sementara itu, bagi individu yang tidak lengkap atau tidak menerima vaksin akibat masalah perubatan akan diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib 10 hari dan ujian saringan akan dibuat pada hari ketujuh.

“Kuarantin wajib 14 hari masih dikenakan kepada individu yang tiba daripada luar negara di pusat kuarantin yang ditetapkan di destinasi ketibaan Point Of Entry (POE).

“Tempoh kuarantin akan dikurangkan kepada tujuh hari sekiranya individu tersebut telah melalui tujuh hari kuarantin di Kuala Lumpur, dan kekal 14 hari untuk individu yang masuk melalui Brunei atau Indonesia lebih daripada tiga hari,” katanya.

Kos kuarantin dan ujian saringan RT-PCR untuk rakyat Sarawak akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Selain keputusan negatif ujian saringan COVID-19, dokumen tambahan yang diperlukan untuk pengesahan pihak JPBNS ialah sijil digital vaksinasi, maklumat penerbangan, salinan kad pengenalan, dan permit polis.

“Setiap individu yang masuk juga perlu mengisi borang deklarasi kesihatan (eHDF) dan mereka yang pernah dijangkiti COVID-19 juga perlu mendapatkan surat pengesahan kesihatan daripada fasiliti perubatan yang berdaftar,” katanya.

Bagi individu di bawah 18 tahun yang masuk tanpa penjaga, akan diberikan notis perintah pengawasan di rumah selama 10 hari dan akan dikecualikan daripada arahan tersebut sekiranya tiba bersama penjaga yang sudah lengkap dos vaksin.

Menerusi kemaskini panduan EnterSarawak tersebut juga, JPBNS menggariskan beberapa keperluan dokumen tertentu berdasarkan tujuan atau industri yang berkenaan.

Antaranya melibatkan, perkhidmatan penting, urusan rasmi, kemasukan daripada luar negara, pelancongan perubatan, sektor minyak dan gas, serta sektor perkapalan dan penerbangan.

Sebagai tambahan, penghantaran barangan keperluan asas merentasi sempadan antara Sarawak dan Brunei perlu mendapatkan kebenaran rentas sempadan Pejabat Residen Miri atau Limbang.

“Kakitangan yang terlibat akan melakukan ujian RTK Antigen di sempadan Brunei dan dibenarkan untuk melakukan persinggahan di negara itu menggunakan pas satu hari perjalanan,” katanya. 

Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut boleh didapati di laman sesawang rasmi sarawakdisastermc.com