Runtuhan batu di Mutiara Court, enam kenderaan rosak

Kejadian runtuhan batu dilaporkan berlaku di Mutiara Court, Taman Bukit Permai, Ampang pada pagi Isnin menyebabkan kerosakan terhadap enam buah kenderaan - Foto Balai Polis Daerah Ampang Jaya
AMPANG: Kejadian runtuhan batu dilaporkan berlaku di Mutiara Court, Taman Bukit Permai, di sini pada pagi Isnin menyebabkan kerosakan terhadap enam buah kenderaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Balai Polis Pandan Indah menerima laporan mengenai insiden itu sekitar jam 10.45 pagi daripada orang awam.
Bagaimanapun menurut Mohd Azam, tiada mangsa cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.
"Siasatan di lokasi mendapati runtuhan batu dari cerun bukit telah menimpa kawasan tempat letak kenderaan.
"Daripada enam kenderaan yang rosak, lima berjaya dikeluarkan manakala sebuah kereta jenis Perodua Kancil mengalami kerosakan menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, runtuhan pertama berlaku pada jam 8.15 pagi, manakala runtuhan kedua sekitar jam 8.50 pagi.
Mohd Azam menambah pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan menggunakan jentera berat bagi mengalihkan runtuhan batu terbabit.
Selain itu, katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah turut membantu menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian.
Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai menghubungi pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti berbahaya di kawasan cerun bukit itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


