KUALA LUMPUR: Tiga lelaki ditahan disyaki terlibat dalam kes rusuhan dan perbuatan khianat terhadap beberapa buah kereta yang diparkir di tepi Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, ibu negara.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, insiden tersebut tular menerusi rakaman video aplikasi media sosial sejak Isnin lalu.

"Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 41 tahun dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman.

"Usaha mengesan suspek yang masih bebas masih diteruskan dan individu terbabit dalam insiden tersebut diminta tampil membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Terdahulu, satu video menunjukkan sekumpulan lelaki merusuh dan melakukan khianat pecah cermin kereta terhadap beberapa kereta tular di media sosial.

Amihizam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.