PONTIAN: Cadangan mewujudkan rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir sehingga akhir penggal, penting bagi menjamin kestabilan politik negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata cadangan tersebut akan memberi peluang kepada parti yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) memerintah dan meneruskan agenda pembangunan tanpa digugat dengan sebarang usaha menumbangkan kerajaan.

"Apa yang dicadangkan itu adalah cadangan yang baik dan tentunya akan diperhalusi pihak berkaitan; bahagian undang-undang iaitu Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman.

"Perkara itu penting untuk memberikan kestabilan kepada kerajaan pada masa akan datang supaya tidak berlaku lagi situasi seorang Yang di-Pertuan Agong ada empat Perdana Menteri dan ini menyebabkan ketidakstabilan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Pontian di bangunan JKR, di sini hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal, diwujudkan dan dibentangkan di Parlimen.

Sejak Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memegang tampuk pemerintahan negara bermula 31 Jan 2019, empat Perdana Menteri berbeza dilantik bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata pihak pembangkang yang mendakwa mempunyai akuan bersumpah (SD) mencukupi untuk menumbangkan kerajaan perlu membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat.

"Mereka asyik kata itu dan ini, SD sudah cukup, jadi saya menyokong cadangan Perdana Menteri supaya pihak berkaitan membuat usul percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat pada bulan Feb ataupun Mac akan datang.

"Mereka telah dicabar sebelum ini tetapi mereka tidak berani buat. Mereka kata pada bulan 10 akan bertukar kerajaan tetapi apabila tibanya bulan 10 tidak ada apa-apa dan mereka kata bulan Januari akan ada pertukaran kerajaan tetapi ia hanya sekadar khayalan dan ilusi yang tidak ada satu faedah kepada kestabilan politik dan juga kesejahteraan rakyat," katanya.

Semalam, Presiden UMNO mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen, bagi memastikan peristiwa kekerapan pertukaran Perdana Menteri pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik sebagai merujuk kepada gerakan "Langkah Dubai" yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan MADANI yang dipimpin Anwar.

-- BERNAMA