NATIONAL
RUU pekerja gig siap dirangka, bakal dibentang di Parlimen

Steven (kiri) ketika Sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena. - Astro AWANI/Shahir Omar
BUKIT JALIL: Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan pekerja gig bakal dibentang pada sidang Parlimen akan datang.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, Kerajaan telah mendengar keluhan golongan gig sejak sekian lama menuntut perlindungan dan hak mereka sewajarnya.
“Kerajaan mendengar keluhan anda. Sudah bertahun-tahun diberi janji manis. Kerajaan bersilih ganti. Perubahan belum sampai. Di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan sudah menyiapkan draf RUU pekerja gig yang bersejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena pada Khamis.Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menjalankan kajian mendalam dan sesi libat urus melibatkan lebih 3,000 pemegang taruh termasuk pekerja, penyedia platform dan pakar industri bagi memastikan RUU tersebut benar-benar mencerminkan realiti serta keperluan semasa.
Steven turut menyeru kepada semua pihak agar memberi ruang kepada Kerajaan untuk membela nasib pekerja gig dengan tidak menghalang proses pembentangan RUU tersebut.
“Benarkan Kerajaan bentangkan RUU di sidang Parlimen akan datang,” tegasnya.
Mengulas lanjut, KESUMA berpegang pada konsep kesamarataan dan menolak sebarang usaha menindas pekerja atas alasan kegawatan ekonomi atau iklim perniagaan.
“Kesusahan ekonomi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menindas pekerja,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami