RUU Perubahan Iklim: Cukai karbon antara langkah pacu ekonomi hijau - Fadillah

Fadillah turut menegaskan peranan universiti dan institusi penyelidikan amat penting dalam memperkukuh dasar berasaskan bukti dan memperluas penyelidikan saintifik berhubung impak perubahan iklim. - FoAstro AWANI/Shahir Omar
SHAH ALAM: Kerajaan komited memperkukuh dasar perubahan iklim negara melalui penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dan pengenalan cukai karbon.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, RUUPIN yang kini dalam peringkat penggubalan akan menjadi kerangka utama dalam memperkukuh tindakan mitigasi dan adaptasi, sekali gus menyokong sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050.
"Tujuannya ialah untuk memastikan, bukan sahaja di pihak kerajaan, tetapi setiap syarikat dan setiap organisasi turut terlibat bersama dalam memberi komitmen. Dengan cara itu, kita dapat memastikan Malaysia bukan sahaja dapat mengawal kadar pelepasan karbon, tetapi yang lebih penting, mempunyai struktur perundangan yang kukuh dari segi penguatkuasaan.
“RUUPIN akan menjadi tulang belakang kepada kesiapsiagaan negara dalam memenuhi hasrat perdagangan karbon domestik dan antarabangsa,” katanya pada pelancaran MSU Centre for Climate Resilience and Strategy (M-CREST) di kampus Management and Science University (MSU), pada Khamis.
Katanya lagi, pengenalan cukai karbon yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 akan dikenakan ke atas sektor besi, keluli dan tenaga, selaras dengan hasrat negara beralih ke arah ekonomi rendah karbon.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan dua instrumen kewangan hijau inovatif iaitu Forest Conservation Certificate (FCC) dan Forest Carbon Offset (FCO), bagi menyokong usaha pemeliharaan hutan dan pembangunan projek karbon tempatan.
"Ini juga merupakan inisiatif yang kita perkenalkan, dan kita mengharapkan ia dapat memastikan orang ramai terlibat dalam usaha menanam pokok. Dengan itu, karbon boleh diniagakan, dan melalui perdagangan karbon ini, akan wujud perkembangan dari segi perspektif ekonomi. Ia juga menjadi tarikan kepada lebih ramai pihak untuk turut serta.
"Pada masa yang sama, kita gunakan pendekatan ‘carrot and stick’; carrot ialah peluang untuk berdagang karbon, manakala stick ialah cukai karbon. Jika pelepasan karbon terlalu tinggi, maka pihak berkenaan akan dikenakan cukai karbon,” jelasnya.
Fadillah berkata, usaha itu disokong oleh pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) yang memberi tumpuan kepada lima sektor utama iaitu jaminan air dan pesisir, pertanian, infrastruktur, biodiversiti dan kesihatan awam.
Beliau turut menegaskan peranan universiti dan institusi penyelidikan amat penting dalam memperkukuh dasar berasaskan bukti dan memperluas penyelidikan saintifik berhubung impak perubahan iklim terhadap ekonomi dan sosial negara.
Antara bentuk kerjasama yang boleh diteroka termasuk projek bersama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui agensi di bawahnya seperti Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
"Sekarang, kita perlu lebih fokus pada penyelidikan yang benar-benar memberi impak. Kita harus berfikir tentang permasalahan sebenar yang dihadapi masyarakat.
"Inovasi adalah tentang kreativiti, dan kreativiti bermula dengan pemikiran terhadap masalah yang kita hadapi. Dari situ, kita fikirkan apa lagi yang boleh dibuat, apakah masalahnya, dan apakah penyelesaiannya. Inovasi sebenarnya lahir daripada tahap kreativiti kita dalam mencari penyelesaian.
“Kita mahu universiti seperti MSU menjadi rakan strategik kerajaan dalam membentuk dasar dan teknologi hijau, termasuk penyelidikan mitigasi banjir menggunakan AI dan teknologi satelit,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


