Sabah dalam proses dapatkan pensijilan MS ISO 9001:2015 dan ABMS 37001:2025

Hajiji (tiga, kanan) menyempurnakan pelancaran Pelan Pembangunan Negeri SMJ 2.0 2026-2030 pada Majlis Amanat Tahun Baharu kepada Penjawat Awam di SICC hari ini. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah kini sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (MS ISO 9001:2015) dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS 37001:2025) secara bersepadu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Sabah berusaha untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 9001:2015 dan ABMS 37001:2025 bagi memperkukuhkan tadbir urus, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, serta menzahirkan komitmen terhadap integriti dan ketelusan.
- Ketua Menteri Hajiji Noor menekankan bahawa penjawat awam perlu menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program bagi memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.
- Kestabilan politik di Sabah membolehkan kerajaan negeri mengejar agenda pembangunan jangka panjang dengan langkah seperti penggubalan perlembagaan baru dan penstrukturan semula kementerian serta agensi kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Penjawat Awam Negeri dan Pelancaran Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hajiji berkata berkata kerajaan negeri komited untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang lebih kemas, tersusun dan berdisiplin kerana implikasi perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja mencemarkan nama baik individu malah memberi kesan besar kepada keluarga, institusi yang diwakili serta mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara.
Ketua Menteri berkata penjawat awam bukan sekadar "saya yang menurut perintah" tetapi juga sebagai rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung terhadap kehidupan rakyat dan kemajuan tanah air.
Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan politik negeri mutakhir itu telah memperkukuh kedudukan kerajaan negeri hingga mencapai penguasaan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjamin kestabilan politik yang amat penting bagi kesinambungan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat untuk tempoh jangka panjang.
Hajiji berkata kestabilan itu membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan penggubalan serta meminda perlembagaan negeri selaras dengan keperluan semasa, antaranya cadangan mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri maksimum dua penggal atau 10 tahun.
Selain itu, penambahan beberapa anggota Kabinet negeri bagi menepati keperluan pentadbiran yang semakin kompleks, selain penjenamaan semula jawatan pembantu menteri kepada timbalan menteri agar lebih relevan dan selari dengan amalan pentadbiran semasa.
"Justeru, penstrukturan semula beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk GLC sedang dilakukan sebagai langkah penambahbaikan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan serta prestasi dalam setiap entiti kerajaan ini benar-benar efisien dan berkesan, lebih penting tidak merugikan rakyat dan kerajaan.
"Langkah ini selaras dengan aspirasi rakyat serta agenda pembangunan kerajaan di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


