KUALA LUMPUR: Isu pembangunan vaksin terus menjadi tumpuan di Dewan Rakyat apabila terbaharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH- Kulim Bandar Baharu) ‘menuntut’ kad kemajuan projek pembangunan vaksin manusia bernilai RM2 bilion yang pernah dilaksanakan kerajaan 15 tahun lalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).

Menurut Saifuddin, kerajaan sepatutnya mendedahkan perkembangan pembangunan vaksin yang terdahulu sebelum meneruskan projek baharu pembangunan vaksin COVID-19.

Beliau berkata demikian semasa bangkit memberikan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.

“Tajuk pembangunan vaksin bukan benda baharu... yang baharu adalah pembangunan vaksin untuk COVID-19. Tetapi pembangunan vaksin manusia sebenarnya topik lama.

“15 tahun dulu, negara kita ada dasar bioteknologi negara bawah RMK9 (2006-2010) kerajaan peruntukan RM2 bilion dan dibawahnya ada dua agensi untuk kajian dan pembangunan vaksin manusia.

“Saya nak tanya, berkenaan RM2 bilion, sebelum kita cakap (projek vaksin COVID-19) yang sekarang, kerajaan mesti tunjukkan kepada kita kad kemajuan ini dulu,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau juga bertanya mengenai ciri khusus bagi pelan pembangunan vaksin daripada makmal ke pasaran, dan meminta kerajaan memberi jaminan bahawa rancangan tersebut tidak lagi akan tersangkut dan terbengkalai.

Menjawab perkara yang dibangkitkan, Aaron Ago bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai maklumat terperici berkenaan projek pembangunan vaksin terdahulu dan akan mendapatkannya kemudian.

Berhubung jaminan yang diminta berkaitan projek pembangunan vaksin COVID-19 pula, beliau menjelaskan, prosesnya memerlukan beberapa peringkat yang panjang.

“Prosesnya panjang, ujian dilakukan daripada haiwan kecil ke besar, daripada haiwan kepada manusia.

“Lepas buat analisis kepada semua tindakan ini baru pendaftaran dapat dibuat, dibangun dan dikilangkan,” katanya.

Pada Rabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Malaysia menyasarkan tempoh 10 tahun untuk menjadi negara pengeluar vaksin manusia, di mana Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara akan dilancarkan dalam masa terdekat.