SELEPAS sebulan menahan lapar dan dahaga, pastinya Syawal yang tiba disambut dengan hati yang gembira, bukan sahaja dapat menjamu selera tetapi yang lebih bermakna dapat 'balik kampung' ke pangkuan ayahanda dan bonda.
Lazimnya sepanjang bulan perayaan ini juga, kebanyakan kita sibuk mengatur jadual bagi menghadiri rumah terbuka yang diadakan sanak-saudara, kenalan juga jiran-tetangga.
Sebulan berpuasa, sebulan jugalah kita beraya dan selama itulah mungkin ada yang sakan makan sehingga rutin diet sebelum ini, kata orang, 'hanyut ke laut'.
MUSIM PANAS DAN STROK HABA
Dalam sibuk teruja berhari raya, perlu diingat bulan Syawal bukan 'tiket' untuk membalas dendam menikmati apa sahaja hidangan, setelah berlapar dahaga sebulan menjalani ibadah puasa Ramadan. Bimbang nanti, habis raya, diri pula diserang ancaman pelbagai jenis penyakit.
Perlu juga peka Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut ketika tempoh peralihan Monsun Timur Laut yang menyebabkan cuaca panas berpanjangan di beberapa negeri terutama di utara Semenanjung sehingga bulan Ogos depan.
Di samping itu, terdapat laporan memetik pusat ramalan iklim APEC Climate Center di Busan, Korea meramalkan, "El Nino kuat dijangka akan berlaku bermula Jun, sekali gus menyebabkan di Malaysia dan Indonesia akan menjadi lebih kering dan panas bermula Jun hingga Oktober depan."
Cuaca panas berpanjangan itu turut dikaitkan dengan strok haba yang menuntut masyarakat lebih berhati-hati ketika berhari raya apatah lagi terdapat laporan berita berhubung kematian kanak-kanak dipercayai disebabkan strok haba.
Menurut Pakar Pemakanan Institut Farmakogenomiks Integratif (iPROMISE), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Norazmir Md Nor, berdasarkan situasi semasa hari ini, penting untuk masyarakat menjaga kesihatan masing-masing dengan tubuh badan kekal terhidrat.
"Pastikan minum banyak air sebelum dan semasa berkunjung ke rumah terbuka. Elakkan minuman berkafein kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi. Untuk pakaian pula digalakkan memakai pakaian berwarna terang dan longgar yang membolehkan kulit berasa selesa. Elakkan warna gelap kerana ia boleh menyerap haba.
"Lindungi diri daripada matahari dengan memakai topi dan menyapu krim pelindung matahari pada kulit yang terdedah untuk melindungi diri daripada kesan berbahaya matahari. Selain itu jika badan mula berasa terlalu panas, berehatlah di kawasan teduh atau ruang berhawa dingin. Elakkan berada di bawah terik cahaya matahari untuk tempoh yang lama," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ibu bapa yang membawa anak-anak menziarahi sanak saudara ke rumah terbuka ketika cuaca panas masih melanda negara, perlu mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan anak mereka.
"Sebenarnya kanak-kanak lebih terdedah kepada dehidrasi berbanding orang dewasa, jadi adalah penting untuk memastikan mereka minum banyak air sepanjang hari. Sediakan air, jus atau minuman kegemaran kepada anak dengan lebih kerap, walaupun mereka tidak berasa dahaga.
"Ibu bapa boleh memakaikan anak-anak dengan pakaian yang selesa dan ringan yang dapat membantu memastikan mereka berasa sejuk semasa cuaca panas.
"Elakkan beraya pada waktu panas puncak seeloknya pergi ketika cuaca lebih sejuk seperti awal pagi, lewat petang atau malam dan hindarkan dari berada di luar rumah pada waktu paling panas, terutama dari pukul 10 pagi hingga 4 petang," katanya.
Ibu bapa pada masa sama perlu peka terhadap tanda keletihan dan strok haba pada anak seperti sangat berpeluh, kekejangan otot dan pening.
"Jika melihat mana-mana gejala ini pada anak, dapatkan rawatan perubatan dengan segera," katanya.
Dr Norazmir turut menambah, menu terbaik bagi menjaga kesihatan diri di rumah terbuka semasa 'musim' strok haba ialah buah-buahan seperti tembikai, strawberi, anggur dan oren yang dapat mengekalkan kelembapan kerana kandungan air yang tinggi.
Selain itu sayur-sayuran seperti timun, tomato dan salad yang kaya dengan air dan boleh membantu mengekalkan kelembapan serta minuman sejuk seperti air limau, air kelapa dan teh ais dapat menyejukkan dan memastikan badan sentiasa terhidrat.
GODAAN MENU RAYA
Antara juadah popular yang dihidangkan ketika berkunjung ke rumah terbuka sudah tentunya rendang, lemang, sate dan pelbagai kuih yang membuka selera.
Namun begitu, sekiranya jumlah pengambilannya tidak dikawal, tidak mustahil seseorang itu berisiko mendapat penyakit tertentu.
Mengenai rendang yang bagi sesetengah orang adalah hidangan wajib pada musim perayaan, Dr Norazmir menjelaskan, ia tinggi lemak tepu serta kalori selain pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan individu mengalami penambahan berat badan dan masalah jantung.
"Begitu juga dengan lemang. Walaupun ia hidangan yang lazat namun tinggi kandungan karbohidrat dan kalori. Makan banyak lemang boleh menyebabkan kenaikan gula dalam darah serta berat badan naik," katanya menambah, pengambilan sate yang berlebihan dan dagingnya yang berlemak juga boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah pencernaan.
Bagi kuih-muih pencuci mulut tradisional yang kebanyakan dibuat menggunakan gula, tepung dan santan, ia mengandungi kandungan gula dan kalori yang tinggi serta pengambilan berlebihan boleh menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah dan penambahan berat badan.
Selain itu, terdapat juga penyakit yang berpunca daripada makanan tercemar akibat bakteria seperti Salmonella dan E. coli yang kerap berlaku semasa musim perayaan disebabkan pencemaran semasa penyediaan dan penyimpanan makanan.
"Bukan itu saja semasa tempoh ini penyakit menerusi jangkitan pernafasan seperti selesema boleh berjangkit dengan mudah kerana tiada penjarakan sosial.
"Ketika hari raya juga ramai yang akan merentas perjalanan sehingga beberapa jam untuk pulang ke kampung halaman dan penyakit berkaitan perjalanan seperti cirit-birit dan malaria berisiko dihidapi semasa perjalanan ke kawasan atau rentas negeri yang berbeza," katanya.
Dr Norazmir turut menambah, 'sakan beraya' juga boleh mengundang penyakit berkaitan tekanan seperti sakit kepala, migrain dan masalah pencernaan boleh berlaku disebabkan tekanan dan tuntutan musim perayaan termasuk perjalanan, penganjuran acara dan menguruskan kewajipan keluarga.
Justeru katanya, penting untuk masyarakat mengambil langkah pencegahan seperti mengamalkan kebersihan, mengekalkan diet yang sihat, menguruskan tahap tekanan untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit semasa perayaan.
SEMUA ORANG BERISIKO
Individu yang sihat turut berisiko mendapat penyakit tertentu sekiranya mereka tidak berwaspada dalam pengambilan makanan semasa hari raya.
Mengulas perkara itu, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin berkata, tabiat pemakanan semasa musim perayaan boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).
"Penyakit tidak berjangkit adalah hasil daripada pendedahan berpanjangan terhadap gaya hidup yang tidak sihat termasuk cara pemakanan yang tidak seimbang. Situasi Aidilfitri yang biasanya disambut sepanjang bulan Syawal dengan pelbagai jemputan untuk majlis makan-makan boleh meninggalkan kesan berpanjangan terhadap kesihatan kita.
"Contoh mudah adalah pengambilan gula tambahan. Bayangkan kita menziarahi lima buah rumah untuk berhari raya dan di setiap rumah kita akan minum minuman bergula, makan kuih raya yang pastinya tinggi kandungan gula dan pelbagai lagi juadah berbentuk manisan.
"Sedar atau tidak kita mengambil gula tambahan melebihi keperluan harian yang dibenarkan iaitu sembilan sudu kecil gula bagi seorang lelaki dewasa dan enam sudu kecil bagi seorang wanita dewasa," katanya.
Beliau berkata, NCD secara umumnya dikaitkan dengan tabiat makan individu dan akan menjadi lebih buruk pada musim perayaan hasil daripada gaya pemakanan yang tidak berhemah.
"Dua masalah yang paling terkesan semasa musim perayaan iaitu peningkatan gula dalam darah yang membawa kepada penyakit kencing manis dan peningkatan kolesterol dalam darah yang membawa kepada pelbagai masalah jantung dan darah tinggi," katanya.
Untuk itu setiap individu dinasihatkan 'memilih makanan' dengan tidak terus mengambil dengan kuantiti yang banyak di samping memberi ruang untuk diri merasa serba sedikit makanan yang ada.
"Pengambilan kita dikira berhemah apabila hidangan dalam pinggan tidak menimbun dengan satu jenis makanan sebaliknya terdapat pelbagai jenis dalam kuantiti yang kecil.
"Bagi individu yang sememangnya didiagnosis dengan penyakit kencing manis, kuatkan diri anda untuk tidak mengambil makanan atau minuman yang kita sedia maklum ditambah dengan gula tambahan," katanya.
TIP SIHAT SEPANJANG RAYA
Bagi memastikan tubuh badan kekal sihat sepanjang raya, Dr Norsham Juliana berkongsi beberapa panduan penting yang boleh diamalkan oleh masyarakat antaranya membiasakan diri untuk "katakan tidak" kepada minuman bergula sepanjang hari.
"Bagi individu yang terbiasa dengan minuman dengan gula tambahan, mulakan amalan ini dengan pengambilan secara selang sehari, seterusnya jarakkan masa untuk pangambilan minuman bergula. Selain itu amalkan minum air kosong atau air tidak bergula terlebih dahulu setiap kali sebelum makan dan berikan masa lima hingga 10 minit selepas minum sebelum mula makan," katanya.
Beliau menambah, cara untuk kekal sihat adalah dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit iaitu menghadkan satu atau dua item sahaja daripada jenis yang sama.
"Pilih untuk makan buah-buahan dahulu sekiranya dihidangkan sebelum mula makan hidangan lain. Makan dan kunyah dengan perlahan, usah gopoh menghabiskan makanan. Sekiranya kita sebagai tuan rumah untuk majlis Aidilfitri, pastikan kita menyediakan pilihan makanan sihat untuk dihidangkan kepada tetamu.
"Hidangan seperti sayuran, ulam dan buah-buahan perlu menjadi hidangan kemestian dalam majlis. Kurangkan penggunaan gula, minyak, santan serta gunakan daging dan ayam tanpa lemak dalam masakan," katanya.
Beliau menambah, dalam kesibukan beraya sepanjang Syawal, luangkan masa untuk melakukan aktiviti fizikal termasuk sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari.
"Ia akan memberikan impak besar dalam diri kita. Semoga kita sama-sama berusaha ke arah menjadikan budaya sambutan Aidilfitri di Malaysia suatu amalan yang turut menitikberatkan gaya hidup sihat.
"Jadikan Aidilfitri kali ini detik terindah dengan kita kekal sihat dan jangan biarkan kemeriahan Aidilfitri dijadikan alasan penyebab kepada penyakit kronik yang berpanjangan," katanya.
-- BERNAMA / BALKISH AWANG
Bernama
Fri May 12 2023
Sepanjang bulan perayaan ini juga, kebanyakan kita sibuk mengatur jadual bagi menghadiri rumah terbuka yang diadakan sanak-saudara, kenalan juga jiran-tetangga. - Gambar hiasan/Bernama
Kelantan Darul Naim FC, GTR Burger jalin kerjasama pintar
Menurut kelab itu, pihak pengurusan KDN FC diwakili presidennya, Rozi Muhamad manakala GTR Burger pula pengerusinya, Nordin Mat.
AWANI Pagi: Berita tumpuan & menarik di astroawani.com [17 Mei 2024]
Antara fokus AWANI Pagi bersama Afiezy Azaman & Azib Zikry
- KPM umum enam inisiatif antaranya lonjak kapasiti guru digital
- Pokok tumbang hempap 2 kereta, pemandu ditemui selamat
- Dr Dzulkefly arah tempat segera doktor pelatih ke hospital
#AWANInews #AWANIPagi
- KPM umum enam inisiatif antaranya lonjak kapasiti guru digital
- Pokok tumbang hempap 2 kereta, pemandu ditemui selamat
- Dr Dzulkefly arah tempat segera doktor pelatih ke hospital
#AWANInews #AWANIPagi
Tinjauan NHMS mendapati 10% rakyat Malaysia tidak dapatkan rawatan atas faktor kewangan
Sebanyak 12.9% melaporkan bahawa ia adalah kerana rawatan terlalu mahal, tidak mampu dibeli, atau kerana kekurangan wang.
Haji: Seramai 5,790 jemaah Malaysia telah tiba di Tanah Suci
Sehingga semalam, 5,790 orang daripada 31,600 jemaah haji Malaysia yang dapat tawaran selamat tiba di Mekah dan Madinah.
Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Perak
106 mangsa banjir dipindahkan ke lima PPS susulan hujan lebat malam tadi di Perak. Credit: JBPM Perak
Banjir kilat di Kulim dan Bandar Baharu
Seramai 133 mangsa banjir kilat dipindahkan ke dua PPS yang diaktifkan di Kedah. - Credit APM Kedah
Seorang maut, nahas tiga lori di Lebuhraya PLUS, laluan arah selatan terhalang
Ekoran kemalangan itu, sebuah lori melintangi jalan dan semua lorong terhalang, menyebabkan aliran trafik terhenti sepanjang 13 kilometer.
Banjir kilat: 133 mangsa dipindahkan ke dua PPS di Kedah
Semua mangsa yang dipindahkan melibatkan 31 keluarga iaitu di daerah Kulim dan Bandar Baharu dipindahkan sejak jam 4 pagi tadi.
Banjir kilat: 106 mangsa dipindahkan ke lima PPS di Perak
Seramai 106 mangsa dari 33 keluarga telah ditempatkan di lima PPS di tiga daerah iaitu Hilir Perak, Larut Matang Selama dan Kuala Kangsar.
Malaysia, Kazakhstan sepakat perkukuh hubungan, teroka kerjasama baharu
Malaysia dan Kazakhstan sepakat untuk terus memperkukuhkan hubungan yang terjalin sejak 16 Mac 1992, serta meneroka peluang kerjasama baharu.
Program Penuaan Sihat tingkat kesedaran isu keuzuran warga emas
Program itu juga bagi mengenal pasti status kesihatan warga emas dalam komuniti supaya intervensi awal dapat dilaksanakan.
Hampir 5 juta rakyat Malaysia berisiko hidap pradiabetes, diabetes - Lukanisman
Diabetes tidak menunjukkan simptom dan kebanyakan individu tidak sedar menghidapinya selain berkemungkinan tidak menjalani pemeriksaan awal.
Kemasukan ke hospital kerana hisap 'vape', termasuk golongan kanak-kanak meningkat 733 peratus dalam 4 tahun
Kemasukan kanak-kanak kerana penyakit berkaitan mengevap merupakan enam peratus daripada jumlah kemasukan keseluruhan dalam tahun 2020.
Modaliti rawatan inovatif perangi ketagihan moden
Terdapat beberapa pendekatan inovatif untuk rawatan ketagihan yang telah menunjukkan kemajuan dalam penyelidikan.
Ketua WHO gesa perlindungan kemudahan penjagaan kesihatan semasa konflik
Ghebreyesus berkata kerosakan kemudahan penjagaan kesihatan dan kakitangan WHO telah menjadi norma, seperti yang dilihat di Gaza, Sudan dan Ethiopia.
[KOLUMNIS] Sengsara di Aidilfitri: Apa yang anda perlu jaga jika menghidap penyakit ini?
Penghidap beberapa jenis penyakit harus sedar wujud kesan sampingan daripada pemakanan yang tidak dijaga semasa musim perayaan.
Jawatankuasa khas isu pendidikan, kesihatan di Sarawak ditubuh
Perkara itu dipersetujui pada Taklimat Pembangunan Sarawak yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Trigeminal Neuralgia: Kesakitan 'membunuh'
Meskipun jarang berlaku, penyakit ini telah menyerang ramai individu di seluruh dunia termasuk selebriti seperti George Clooney dan Salma Hayek.
Cuaca panas dijangka kekal hingga April
Dalam tempoh itu suhu boleh mencecah antara 35 hingga 38 darjah Celsius bergantung kepada kehadiran awan dan hujan pada masa tersebut.
Thailand rintis teknologi WiFi generasi akan datang untuk transformasi kesihatan
USTDA berkata kajian yang dibiayai itu akan merangkumi pembuktian konsep untuk penggunaan teknologi Wi-Fi 6E di Hospital Ramathibodi.