Skip to main content

Malaysia

Saksi berjumpa Sayed Amir Muzzakkir di pejabat serah wang RM350,000

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir (gambar) didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai upah membantu NSB memperoleh tender berkenaan bernilai RM381,112,042.44. - Gambar fail/Bernama
Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir (gambar) didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai upah membantu NSB memperoleh tender berkenaan bernilai RM381,112,042.44. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau menyerahkan wang tunai RM350,000 kepada Sayed Amir Muzzakkir di pejabat Yayasan Tanah Aku pada 2020.
  • Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan tender projek Polis Diraja Malaysia, melibatkan permintaan dan penerimaan suapan daripada Wan Azhar Mohamed Yusof.
  • Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dengan perbicaraan bersambung pada 11 November di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau sememangnya ada berjumpa dengan Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad untuk menyerahkan wang berjumlah RM350,000 secara tunai di pejabat Yayasan Tanah Aku di Publika pada 2020.

Wan Azhar Mohamed Yusof, 51, berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi pada perbicaraan bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu, yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM350,000 berhubung tender projek Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tan: Kenapa tuan (Wan Azhar) tidak bersetuju dengan peguam bahawa serahan wang pada 4 Dis 2020 dan 16 Dis 2020 tidak berlaku kerana tiada pejabat Yayasan Tanah Aku di lokasi tersebut.

Wan Azhar: Memang saya pergi ke lokasi itu pada tarikh tersebut dan jumpa beliau (Sayed Amir Muzzakkir) untuk menyerahkan wang.

Dalam pernyataan saksinya, Wan Azhar yang merupakan saksi pendakwaan ke-17 berkata Sayed Amir Muzzakkir memintanya membayar RM350,000 secara tunai bagi sebahagian komisen lima peratus, selepas membantu syarikat NSB mendapatkan tender projek PDRM.

"Saya menyerahkan wang berjumlah RM100,000 yang berada dalam beg kertas kepada Sayed sekitar 4 petang, pada 4 Dis 2020 dan wang berjumlah RM250,000 juga dalam beg kertas diserahkan pada 3.30 petang, 16 Dis 2020. Sewaktu serahan tersebut, hanya saya dan Sayed berdua sahaja,” katanya menerusi pernyataan saksinya.

Tan: Kenapa tuan tidak bersetuju dengan peguam bahawa keterangan tuan dalam pernyataan saksi iaitu ‘boleh tak kau bayar 350k?, aku nak pakai duit ni, cash (tunai)’, tidak diungkapkan oleh Sayed Amir Muzzakir?

Wan Azhar: Saya tidak bersetuju kerana perkataan tersebut datang daripada dia (Sayed Amir Muzzakir) kepada saya sebagai permintaan.

Selain itu, Wan Azhar berkata beliau menyatakan lima peratus itu sebagai komisen bukan 'advisory fee' kerana itu perbualan antara beliau dengan Pengarah Urusan Al Khairi Group Berhad Datuk Seri Mohd Khairi Mat Jahya sebelum 'Project Advisory Agreement' antara MKM Solutions Sdn Bhd dan NSB dibuat.

Wan Azhar dalam pernyataan saksinya sebelum ini mengesahkan ‘Project Advisory Agreement’ itu dibuat sebagai perjanjian komisen lima peratus daripada nilai projek yang diminta oleh Sayed Amir Muzzakkir dan Mohd Khairi.

Pada 29 Sept lepas, Wan Azhar menafikan dakwaan peguam bahawa beliau menukar istilah ‘advisory fee’ dalam ‘Project Advisory Agreement’ kepada komisen dalam pernyataan saksinya bagi membolehkan kes membabitkan Sayed Amir Muzzakkir dikaitkan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai upah membantu NSB memperoleh tender berkenaan bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, masing-masing pada 4 petang, 4 Dis 2020 dan 3.30 petang, 16 Dis 2020.

Sayed Amir Muzzakkir turut dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa di pejabat Nexuscorpgroup Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 11 Nov ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement