KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini ditangguhkan ke 22 Dis ini kerana saksi penting pendakwaan tidak sihat.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan penangguhan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa saksi pendakwaan ke-22 (SP22), Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurzahidah Yacop telah diberikan sijil cuti sakit (MC) hari ini daripada Klinik Kesihatan Putrajaya.

"Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 Jan depan," kata hakim.

Terdahulu, Rasyidah Murni berkata Nurzahidah telah memohon kepada mahkamah semalam untuk membenarkannya ke klinik bagi mendapatkan rawatan dan pihak pendakwaan telah menerima MC daripada saksi itu yang salinannya akan diberikan kepada peguam hari ini.

"Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara bagi pihak peguam menyoal balas saksi berkenaan (Nurzahidah). Saksi ini penting untuk kes ini dan pihak pendakwaan tidak berniat untuk melengah-lengahkan masa mahkamah, memandangkan ini adalah soal kesihatan ia tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.

"Oleh itu, kami mohon perbicaraan hari ini ditangguhkan manakala tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu 22 dan 23 Dis dikekalkan untuk kami memanggil saksi berkenaan dan Datuk Seri Najib," katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros mewakili Shahrir mengesahkan pihaknya telah menerima maklumat itu semalam melalui aplikasi WhatsApp dan mendoakan supaya saksi berkenaan cepat sembuh untuk hadir semula ke mahkamah bagi menyambung keterangannya.

"Saya menghormati permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan pihak pembelaan tidak memandang ringan perkara ini. Bagaimanapun, kami mohon supaya kes ini dapat diselesaikan dengan segera memandangkan anak guam saya cuba untuk membersihkan namanya sebagai kluster mahkamah.

"Pada Pilihan Raya Umum ke-15 beliau (Shahrir) tidak bertanding atas alasan ia tidak adil untuk pengundi di Johor Bharu kerana di minda rakyat beliau adalah kluster mahkamah," katanya dan memohon supaya tarikh perbicaraan juga ditetapkan pada Januari depan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd 'Afif Ali kemudian berkata pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk menangguhkan dan melambatkan prosiding kes itu, malah sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya demi keadilan semua pihak.

Shahrir, 72, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA