KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau 'terkejut' apabila mengetahui Tan Sri Ambrin Buang dan pegawai Jabatan Audit Negara Datuk Nor Salwani Muhammad diperintahkan supaya meminda dan memusnahkan salinan asal Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Madinah, 66, berkata Nor Salwani (yang kini Timbalan Ketua Audit Negara) memaklumkan perkara itu kepadanya sebelum beliau masuk ke bilik mesyuarat untuk diberi taklimat mengenai salinan pindaan itu.

"Saya terkejut apabila Ambrin (Ketua Audit Negara sebelum beliau) diarah meminda salinan asal dan Nor Salwani diarah supaya memusnahkan salinan yang akan dibentangkan kepada PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 2016).

"Bagaimanapun, dia (Nor Salwani) tidak memusnahkan versi asal laporan itu. Dia menyimpan versi asal di bawah kerusinya," kata beliau.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang didakwa mengganggu laporan akhir audit 1MDB.

Muhammad Shafee: Tan Sri, anda kata terkejut, tetapi tidak melakukan apa-apa mengenai perkara itu sehingga ada kerajaan baharu (Pakatan Harapan)? Madinah menjawab "betul".

Semasa ditanya siapa yang bertanggungjawab di sebalik pindaan itu, Madinah berkata, beliau tidak bertanya kepada Nor Salwani mengenai perkara tersebut kerana tergesa-gesa ke mesyuarat.

Saksi itu juga mengakui bahawa semasa berada di bawah pentadbiran Najib selama setahun empat bulan, beliau tidak cuba mendapatkan penjelasan daripada Najib mengenai isu itu kerana tidak perlu baginya berbuat demikian.

Kepada soalan lain, Madinah mengakui kesalahan telah dilakukan melalui arahan untuk meminda dan memusnahkan laporan audit asal 1MDB.

Muhammad Shafee: Di sepanjang perbuatan salah itu, seseorang "membetulkan" (memanipulasi) laporan itu. Perbuatan jenayah?

Madinah: Saya baru tahu adalah salah bagi Ambrin ditekan untuk meminda salinan laporan ketua audit negara yang telah dimuktamadkan dan bagi Nor Salwani diarahkan untuk memusnahkan semua laporan asal.

Kepada soalan lain, Madinah menafikan bertemu Najib untuk dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada awal 2016 dan juga menafikan beliau bergantung usaha melobi oleh arwah suaminya, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO ketika itu, Datuk Seri Rizuan Abdul Hamid, untuk menjadi dilantik sebagai ke jawatan itu.

Muhammad Shafee: Adakah anda tahu arwah suami anda melobi supaya anda menjadi Ketua Audit Negara?

Madinah: Apabila perkara itu dibangkitkan, saya telah memberitahunya bahawa dalam keadaan apa pun dia tidak boleh campur tangan dalam apa cara sekalipun, terutamanya semasa saya menjadi Ketua Setiausaha di dua kementerian, Pendidikan dan MOSTI.

Dia seorang ahli perniagaan, dia tidak cuba untuk menjalankan perniagaan dengan kedua-dua kementerian ini dan tidak melobi apa-apa daripada PM (Perdana Menteri), kerana jika saya dilantik, ia harus atas merit saya sendiri dan dia faham.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung. - BERNAMA