KUALA LUMPUR: Integriti yang utuh dan tata kelola yang baik akan menjadi benteng kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada terjebak melakukan rasuah dan salah laku.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sejak kebelakangan ini, beberapa isu pelanggaran tatatertib melibatkan warga pasukan telah mencalarkan nama baik PDRM.

Menurutnya, antaranya adalah seorang pegawai kanan polis ditahan kerana terlibat dalam kes bunuh secara langgar dengan kereta pelajar Tingkatan Lima di Perak, ketua polis balai disiasat kerana melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki di Johor dan dua anggota ditahan kerana terlibat dalam kes samun, rogol pelajar perempuan warga asing dalam kereta peronda (MPV) di Selangor.

"Apa yang jelas, kejadian-kejadian ini sememangnya menconteng arang ke muka PDRM dan telah merosakkan reputasi serta mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.

"Sebagai warga PDRM yang memegang amanah, tindakan tegas perlu diambil oleh segenap lapisan untuk mengelak insiden-insiden sedemikian daripada berulang," katanya sempena Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Februari 2024 Anjuran Jabatan Pengurusan di Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Razarudin berkata, peringatan kepada dirinya dan para penyelia di semua peringkat untuk bertanggungjawab dalam mengawal selia para pegawai serta anggota masing-masing dari semua sudut.

Jelasnya, PDRM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana pegawai penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan sepertimana yang termaktub dalam Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Sesungguhnya, integriti kekal sebagai keutamaan yang perlu menjadi budaya seluruh warga pasukan.

"Kita perlu menjiwai, menghayati dan membudayakan nilai integriti dalam setiap aspek penugasan selain elak terjebak melakukan kemungkaran sekali gus mengecilkan serta menutup segala ruang dan peluang melakukan rasuah atau salah laku," katanya.

Dalam ucapan itu, Razarudin memaklumkan setiap pegawai perlulah melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baik agar kompeten serta mampu melaksanakan peranan sepertimana yang digariskan di bawah Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967.

"Untuk makluman hadirin, sebanyak RM31.44 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2024, bagi pelaksanaan latihan untuk warga PDRM berbanding RM22.09 juta pada tahun 2023.

"Sebanyak 1,968 kursus, latihan dalam perkhidmatan (LDP) dan bengkel dirancang bagi tahun ini berbanding 1,871 kursus, LDP serta bengkel yang telah dilaksanakan pada tahun lalu," katanya.

Tambahnya, peningkatan ini jelas menunjukkan bahawa PDRM serius dalam usaha meningkatkan tahap kompetensi sumber manusia. - Sinar Harian