Skip to main content

Malaysia

Saman AS$5.64 bilion 1MDB: Mahkamah rekod perintah persetujuan hentikan prosiding terhadap bekas CFO

1MDB logo_Astro AWANI
1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas Ketua Pegawai Kewangannya (CFO), Radhi Mohamad hari ini bersetuju merekodkan perintah persetujuan bagi menghentikan saman sivil sebanyak USD5.64 bilion yang difailkan terhadap beliau.
Advertisement

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas Ketua Pegawai Kewangannya (CFO), Radhi Mohamad hari ini bersetuju merekodkan perintah persetujuan bagi menghentikan saman sivil sebanyak AS$5.64 bilion yang difailkan terhadap beliau.

Peguam 1MDB Lee Shih said Radhi, 55, serta pihak plaintif yang terdiri daripada 1MDB dan empat anak syarikatnya, telah menyatakan persetujuan dengan terma-terma perintah persetujuan itu dan akan merekodkan perkara tersebut di mahkamah hari ini.

“Yang Arif, saya boleh mengesahkan bahawa pihak plaintif dan defendan keenam ingin merekodkan penghakiman persetujuan atau perintah persetujuan hari ini... susulan itu, saman terhadap Radhi akan dihentikan tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula,” katanya.

Perkara itu disahkan oleh peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili Radhi.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus kemudian memutuskan bahawa defendan keenam tidak lagi menjadi pihak dalam prosiding itu.

“Saya amat menghargai semua pihak kerana meluangkan masa untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya pada hari kelapan perbicaraan kes saman itu yang setakat ini menyaksikan tiga saksi plaintif memberi keterangan. 

Terdahulu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi meneruskan prosiding itu dengan membacakan pernyataan saksi.

1MDB dan anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) telah memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.

Selain Radhi, mereka menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas Ketua Pegawai Pelaburan Vincent Beng Huat Koh, bekas Pengarah Pelaburan Kelvin Tan Kay Jim dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.

Writ saman itu antara lain mendakwa plaintif telah menuduh defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berkonspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.

Perbicaraan bersambung Isnin depan. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement