Saman yang difailkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah sebuah 'gimik politik', kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini.

Menurutnya, Dr Mahathir tiada asas yang kukuh untuk menyaman Najib.

"Beliau (Mahathir) tidak mempunyai locus standi untuk berbuat demikian," kata Jazlan ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah pula menegaskan sebagai rakyat, Dr Mahathir berhak menyaman Najib sekiranya beliau merasa ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Saya berpendapat beliau berhak. Namun, perkara tersebut akan ditentukan oleh pihak mahkamah," kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Rabu.

Ditanya sama ada Dr Mahathir mempunyai locus standi untuk memfailkan saman tersebut, Razaleigh berkata hak yang sama ada bagi setiap rakyat.

Terdahulu, Dr Mahathir telah menfailkan saman terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi salah laku (tort misfeasance) dalam jawatan awam dan kemungkiran kewajipan fidusiari dalam menjalankan tanggungjawab.

Dua plaintif lain termasuk bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu hssan dan bekas Wanita UMNO Anina Saadudin.

BACA: Dr Mahathir, Khairuddin, Anina saman Najib Razak