Saman fitnah: Mahkamah tangguh keputusan rayuan Hannah Yeoh

Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan Hannah Yeoh (kiri) terhadap penolakan saman fitnah ke atas Tan Sri Musa Hassan (kanan), dengan tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 21 Okt. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan telah menangguhkan keputusan rayuan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah beliau terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkaitan kenyataan di sebuah forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ringkasan AI
- Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan Hannah Yeoh terhadap penolakan saman fitnah ke atas Tan Sri Musa Hassan, dengan tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 21 Okt.
- Hannah mendakwa Musa membuat kenyataan fitnah di forum UiTM pada 2020, namun Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak saman kerana mendapati kenyataan tersebut bukan fitnah dan tiada penerbitan.
- Hannah menuntut ganti rugi RM2 juta jika rayuan diterima, manakala pihak Musa berhujah kenyataan dibuat berdasarkan buku Hannah dan kajian akademik.
Pada 23 Dis 2024, Mahkamah Tinggi menolak saman Hannah selepas mendapati beliau gagal membuktikan bahawa kenyataan Musa adalah fitnah.
Pada 2020, Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan telah memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataan di forum itu pada 30 Jan 2020.
Hannah mendakwa Musa, dalam ucapannya antara lain menuduh beliau menulis bukunya yang bertajuk Becoming Hannah dengan tujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian, mempunyai hubungan dengan mubaligh Kristian dan Yahudi untuk menjejaskan agama Islam serta Malaysia, dan mengutamakan kepentingan peribadi beliau berbanding negara.
Terdahulu, Razlan Hadri berhujah Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa kenyataan Musa bukan bersifat memfitnah kerana responden hanya membuat komen spontan terhadap perayu.
"Kenyataan fitnah itu merujuk kepada perayu. Video kenyataan tersebut telah dimainkan di mahkamah dan Pesuruhjaya Kehakiman (Arziah Mohamed Apandi) telah melihat serta mendengarnya, bukan hanya sekali tetapi sehingga tiga atau empat kali," katanya.
Beliau juga berkata Arziah mendapati tiada penerbitan kerana responden tidak tahu bahawa ucapannya telah disiarkan secara dalam talian oleh UiTM dan terdapat dakwaan mengenai penglibatan minimum di media sosial UiTM.
"Kami berhujah bahawa kenyataan fitnah itu telah diterbitkan kepada pihak ketiga kerana ia dibuat di sebuah auditorium di UiTM dengan kehadiran sekurang-kurangnya 50 pegawai, ahli akademik dan pelajar UiTM.
"Responden sedar bahawa ucapannya akan disiarkan secara langsung. Kenyataan itu turut dilaporkan oleh pihak media," katanya.
Beliau berkata jika Mahkamah Rayuan membenarkan saman itu, Hannah menuntut ganti rugi am sebanyak RM1.5 juta dan ganti rugi teruk sebanyak RM500,000.
Mohd Khairul Azam pula berhujah bahawa pendedahan anak guammya dalam forum itu adalah berdasarkan kepada buku tulisan Hannah sendiri selain kajian pakar akademik.
"Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf daripada segi undang-undang mahupun fakta dalam menolak tuntutan perayu sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami