Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak diminta segera menyaman ‎Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report kerana menerbitkan laporan yang mendakwa beliau telah menerima berbilion ringgit yang disalurkan ke dalam beberapa akaun peribadinya.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, langkah itu sekali gus dapat membersihkan nama Najib dan membetulkan persepsi dunia terhadap cara negara mengendalikan kemelut syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya minta Najib segera buat laporan polis kerana laporan berita itu. Semua tuduhan itu bakal merosakkan reputasi negara dan kemungkinan akan menjejaskan kemasukan pelaburan asing.

"Najib tidak boleh berlengah lagi dan jangan hanya membuat penafian melalui laman sosialnya sahaja. Najib perlu segera mengambil tindakan undang-undang secara rasmi keatas Sarawak Report dan WSJ secepat yang mungkin bagi membuktikan tuduhan ini tiada asasnya sama sekali," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Laporan terbaharu Sarawak Report mendakwa berlaku penyelewengan sejumlah besar dana berbilion ringgit yang dikaitkan dengan 1MDB dimasukkan terus ke akaun peribadi milik Najib.

BACA: Laporan WSJ: 'Kalau sahih, kenapa tak dedahkan sumber?' - Rahman Dahlan

Bagaimanapun, 1MDB menafikan laporan itu dan mempertikaikan kesahihan bukti yang dibentangkan di dalam laporan tersebut memandangkan portal sama pernah dikaitkan dengan pendedahan yang diragui.

"Inilah masanya Najib membuktikan keberaniannya dengan laporan polis. Biarlah proses undang-undang yang membersihkan namanya.

"Secara peribadi saya amat kasihan dengan Najib yang ditohmah dengan pelbagai skandal kewangan. Jika Najib gagal membersihkan tohmahan dan imejnya melalui proses undang-undang, dia akan turut mengheret UMNO serta BN ke risiko paling besar pada PRU ke-14 akan datang," ujarnya.

BACA: Isu 1MDB: Najib bakal ambil tindakan terhadap WSJ

Sebelum ini Khairuddin dilaporkan berkata penahanan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo disifatkan bakal membuka lebih banyak pendedahan isu salah laku 1MDB.

Jelasnya, penahanan itu juga dilihat usaha serta konspirasi tertinggi pihak tertentu untuk mengalih pandangan rakyat terhadap skandal 1MDB.

BACA: Najib dakwa Mahathir di belakang dakwaan beliau ambil wang 1MDB

Pada Jumaat, Najib mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan individu di sebalik pembohongan yang dibuat termasuk oleh Sarawak Report.

Katanya, tuduhan tidak berasas itu adalah susulan keengganan beliau untuk tunduk kepada pihak tertentu kerana tidak mahu Malaysia diperintah melalui proksi.