KUALA LUMPUR: Veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini mempersoal sama ada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan kembali bersidang selepas 16 Ogos depan.

Menerusi satu kenyataan media, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata ia susulan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mencadangkan supaya persidangan pada hari ini ditunda selama dua minggu.

“Adakah Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 16 Ogos, dan Dewan Negara bersidang semula pada 17 sehingga 19 Ogos, dua minggu selepas tempoh penggantungan sidang akibat wabak COVID-19 seperti yang dicadangkan oleh Noor Hisham ini?” soalnya.


Perarakan Ahli Parlimen Pembangkang dihalang

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ahli Parlimen Pembangkang diarah bersurai

Kit Siang pada masa sama menyifatkan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini sebagai satu 'titik hitam' dalam sejarah Parlimen Malaysia.

“Saya tidak terfikir sesiapa pun, baik di masa lepas, sekarang, atau dari masa hadapan, yang akan menjangkakan akan ada satu hari di mana Ahli-ahli Parlimen Malaysia dihalang daripada datang ke Parlimen,” ujarnya lagi.

BACA: COVID-19: 11 kes baharu, semua disaran jalani ujian sebelum sesi minggu depan

Pada Ahad, Dr Noor Hisham berkata empat sampel RT-PCR kes positif COVID-19 hasil daripada saringan yang dijalankan di Parlimen menunjukkan terdapat unsur berkaitan varian Delta atau varian Kappa.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dikeluarkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang menerima empat sampel daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.


[TERKINI] Dr Noor Hisham jelaskan sebab penutupan Parlimen

Sebelum ini dalam satu kenyataan, Dr Noor Hisham memaklumkan keadaan individu yang ramai ketika sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang berlangsung bermula 26 hingga 29 Julai lalu telah mencetuskan kebimbangan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melihat kepada kadar penularan COVID-19.

Mesyuarat Khas Parlimen yang sepatutnya diadakan pada 2 Ogos telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.