KANGAR: Sebanyak empat kereta berhias dan sebuah beca berhias akan menyerikan sambutan Hari Wesak di negeri ini, malam esok.

Presiden Pertubuhan Buddhis Perlis Hong Bee Im berkata perarakan kereta berhias itu merupakan acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa ataupun agama.

"Tahun ini kita berpeluang untuk anjurkan acara perarakan kereta berhias setelah tiga tahun tidak dapat dianjuran akibat pandemik COVID-19.

"Diharap dengan tema sambutan 'Muafakat Membawa Kemakmuran' dapat mengajak semua lapisan masyakat hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu dalam usaha bersama-sama membangunkan negara tercinta," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata perarakan kereta berhias sejauh 2 kilometer itu akan bermula dari Taman Mutiara menuju ke Jalan Jubli Perak, Jalan Bukit Lagi, Jalan Raja Syed Alwi , Jalan Tun Abdul Razak dan pusat bandar Kangar.

Hong berkata perarakan bermula pada 7.45 malam itu dijangka menarik kira-kira 1,000 pengunjung untuk menyaksikanya.

"Kita menggalakkan orang ramai yang hadir untuk memakai pelitup muka dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19," katanya.

Sementara itu seorang pekedai yang hanya ingin dikenali sebagai Choong berkata setiap tahun beliau dan rakan-rakan tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai acara perarakan tersebut.

"Perarakan ini bukan hanya mendapat perhatian penganut agama Buddha sebaliknya rakan-rakan dari agama lain biasanya tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan perarakan kereta berhias ini," katanya.

Turut berkongsi pengalaman, Asma Mansor, 59, berkata setiap tahun beliau akan menunggu di pusat bandar Kangar untuk melihat dan merakam gambar kenangan perarakan kereta berhias.

"Saya akan mula menungu di depan Pasar raya The Store selepas solat maghrib bagi memastikan tidak terlepas peluang meyaksikan acara setahun sekali ini," katanya.

-- BERNAMA