"Saya sanggup berparang demi hendak mendapatkan air bersih.''

Itu tegas peniaga kedai makan, Faridah Mahudin yang menyifatkan kelewatan lori tangki Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menghantar air punca pili air di kawasan itu dipecahkan.

Katanya, masalah ketiadaan air akibat penutupan Loji Air Bukit Tampoi di kawasan itu yang sudah lebih lapan hari dihadapi penduduk sekitar disifatkan semakin kronik seandainya lori tangki air SYABAS lewat sampai untuk menghantar bantuan.

"Sudah seminggu tidak berniaga, tidak tahu hendak cari di mana mata pencarian. Semuanya kerana tiada air bersih.

"Pili di sebelah ini dipecah penduduk kampung, kami berebut dan benar-benar terdesak hendak dapatkan air,'' ujarnya.

Faridah merupakan salah seorang daripada 8,000 keluarga yang menjadi mangsa ketiadaan air di Dengkil.

Bekalan air di kawasan itu terjejas sejak seminggu lalu selepas loji Bukit Tampoi dikesan mengandungi tahap ammonia tinggi.

Ia difahamkan akan dibuka seandainya tahap ammonia kembali ke paras selamat iaitu 1.3 peratus.

Pada masa kini, tahapnya berada dalam keadaan bahaya iaitu 5 peratus.

Sementara itu, pekerja swasta, Shah Wahid Mohd Amin mahu SYABAS menambah bilangan lori tangki air di kawasan itu.

Katanya, kekurangan bekalan menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan jauh tidak mendapat air.

"SYABAS harus memikirkan keperluan penduduk secara keseluruhannya. Jika hanya sedikit penghantaran air dari lori tangki yang dihantar, pasti masalah ini tidak akan berkesudahan,'' jelasnya.

Shah turut mencadangkan SYABAS mengadakan bekas takungan air sementara di setiap bahagian untuk memastikan bekalan air berpanjangan.

Difahamkan pada ketika ini, kira-kira 20 lori tangki air berulang alik dan menghantar bekalan di kawasan perumahan sekitar Dengkil.

Ia disifatkan masih kurang kerana setiap kawasan perumahan memerlukan sekurang-kurangnya sembilan lori tangki untuk sesuatu masa.

Keadaan itu turut menyebabkan pesakit kencing manis, Abdul Hamid Mohd Yatim merasakan bagai jatuh ditimpa tangga.

Kesukarannya bergerak untuk mendapatkan air semakin terasa selepas memberitahu, anaknya tidak ada di rumah pada waktu siang kerana bekerja.

"Bila sampai lori air itu rasanya seperti datang lori emas. Semua menanti-nanti kehadiran lori di tepi jalan, tetapi saya terpaksa menunggu di rumah,'' katanya.

Rata-rata penduduk terpaksa menunggu kehadiran lori tangki air SYABAS, seawal jam empat pagi.