KOTA BHARU:Mangsa banjir diingatkan supaya berpindah walaupun mereka berasakan tidak perlu berbuat demikian disebabkan pengalaman menghadapi banjir saban tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya ada menerima laporan tentang keengganan mangsa banjir untuk berpindah sedangkan situasi banjir kali ini agak berbeza.

"Ada sesetengah (kes) saya dapat informasi bahawa mereka tak nak pindah walaupun air makin naik. Semalam ada terima panggilan pukul 2 pagi (mangsa hendak berpindah). Pindah ini bagi kesukaran. Kalau air (sudah) naik, pindahlah awal supaya selamat," ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Jalan Penambang yang dilimpahi air Sungai Kelantan siang tadi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan trend aliran air siang tadi meningkat dan melepasi paras bahaya.

Katanya, pusat pemindahan yang disediakan selesa dan dapat menampung mangsa banjir dan keperluan mereka.

Setakat petang Khamis, lebih 5,000 mangsa banjir sudah dipindahkan di 72 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan lima daerah di Kelantan.