SEREMBAN: Jumlah sarang penyu direkodkan di Negeri Sembilan meningkat lebih tiga kali ganda daripada 13 sarang pada 2020 kepada 45 sarang pada 2025, melibatkan penyu karah dan penyu agar di Port Dickson.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, peningkatan itu menunjukkan pendaratan penyu masih berlaku di beberapa lokasi pantai di negeri berkenaan, termasuk di Port Dickson.
“Pendaratan penyu bukan hanya berlaku di Tanjung Gemuk, sebaliknya meliputi banyak pantai di Port Dickson, bermula dari sekitar Tanjung Tuan hingga Tanjung Gemuk,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod pendaratan, pengeraman telur dan penetasan anak penyu bagi tempoh lima tahun lepas, turut berlaku peningkatan jumlah telur yang direkodkan serta berjaya menetas.
Sebanyak 5,552 biji telur direkodkan pada 2025, dengan 4,371 daripadanya berjaya menetas, berbanding 3,333 biji telur direkodkan dan 1,080 biji telur menetas pada tahun sebelumnya.
Mengulas cadangan badan bukan kerajaan (NGO), Aktivis Pemuliharaan Marin Malaysia supaya kerajaan negeri mempertimbangkan pewartaan Tanjung Gemuk sebagai zon perlindungan pendaratan penyu, Kasim berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana kawasan berkenaan merupakan pantai awam yang mempunyai pelbagai fungsi.
Beliau berkata, perkara lebih penting ialah meningkatkan kesedaran orang awam supaya pantai itu sentiasa bersih serta mengurangkan sebarang gangguan sekiranya penyu mendarat untuk bertelur.
“Pantai Tanjung Gemuk ialah pantai awam yang ditadbir oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), yang turut bertanggungjawab terhadap kebersihan pesisir pantai serta menyediakan kemudahan asas di situ.
“Jabatan Perikanan juga melantik pengurusan Glory Beach Resort yang terletak bersebelahan pantai berkenaan sebagai pusat konservasi penyu swasta di Port Dickson,” katanya.
Kasim berkata, usaha melindungi kawasan pendaratan penyu memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya MPPD, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson serta orang ramai, memandangkan kawasan tersebut ialah pantai awam.
NGO berkenaan sebelum ini berpandangan Tanjung Gemuk mempunyai nilai penting sebagai lokasi penyu mendarat dan bertelur serta memerlukan mekanisme perlindungan yang lebih tersusun, termasuk mengenal pasti kawasan pendaratan, melindungi sarang, menjalankan rondaan dan memantau aktiviti penyu mendarat serta bertelur.
Cadangan itu susulan kejadian sarang penyu karah di pantai berkenaan dipercayai diganggu dan telurnya dilarikan, baru-baru ini.
-- BERNAMA