KUCHING: Sarawak berhasrat mengkomersialkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) berdasarkan alga atau lumut keluarannya selepas tempoh percubaan.

Hasrat itu dinyatakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berdasarkan kemajuan ketara yang dicapai negeri itu dalam pembangunan bahan api untuk industri penerbangan itu.

Jelas Abang Johari Sarawak mempunyai masa depan yang cerah dari segi pengeluaran SAF kerana  mempunyai syarat yang sesuai untuk mengeluarkan minyak mentah.

“Terdapat prasyarat yang diperlukan dalam pengeluaran minyak mentah alga dan iaitu cahaya matahari mestilah mencukupi dan kedua, karbon dioksida, dan terakhir, keadaan cuaca iklim.

“Selain itu, kita mempunyai garis pantai yang agak panjang kerana teknologi ini menggunakan air laut yang bermakna kita mampu menghasilkan minyak alga,” katanya ketika menghadiri pameran penggunaan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF) Sarawak dalam pesawat Airbus A220-300 yang terbang dari Kuching ke Lima 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, Sarawak kini boleh menghasilkan lebih kurang 10,000 tong minyak alga mentah sehari berdasarkan setiap 1,000 ekar kawasan tanaman alga.

Mengenai perkara yang berkaitan dengan harga, Abang Johari mendedahkan bahawa ia bernilai sekitar AS$50 hingga AS$100 setong.

"Apabila kita dapat mengeluarkan minyak secara besar-besaran, kos pengeluaran mungkin akan dikurangkan juga dan harga itu sendiri akan bergantung kepada harga minyak hari ini kerana semakin ramai orang menggunakan tenaga mampan yang akan menggantikan bahan api fosil tidak lama lagi," ujarnya.