KUCHING: Sarawak memberi penekanan kepada kepentingan menyediakan empat rangka kerja sebelum memulakan projek pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan sebarang projek hijau yang lain.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Hazland Abang Hipni yang merupakan salah seorang ahli panel pada Persidangan H2Asia 2023 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu berkata, empat rangka kerja itu termasuk undang-undang, teknikal, kewangan, perniagaan dan percukaian serta sumber manusia.

Beliau turut berkongsi pendekatan proaktif kerajaan negeri untuk mewujudkan hubungan simbiotik antara pemuliharaan alam sekitar dan kemakmuran ekonomi berkaitan CCUS.

"Inisiatif CCUS Sarawak yang berterusan dan prospektif bukan sahaja sejajar dengan komitmen negeri terhadap tindakan iklim tetapi juga membuka laluan baharu untuk pertumbuhan ekonomi," demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak semalam.

Memandangkan Sarawak bakal menjadi tuan rumah Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) tahun depan, Hazland menggalakkan para hadirin untuk mengambil bahagian dalam acara akan datang yang dijadualkan pada Julai 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

APGH 2024 akan melonjakkan Sarawak sebagai peneraju revolusi hidrogen hijau di rantau ini dan menyelidik lebih mendalam bidang penyelesaian tenaga mampan.

-- BERNAMA