Skip to main content

Malaysia

Sarawak gubal undang-undang baharu naik taraf Mahkamah Bumiputera

Uggah berkata, undang-undang itu juga akan melihat kepada aspek melantik pegawai yang berkelayakan dalam undang-undang sebagai majistret dan hakim sepenuh masa. - Gambar fail/UKAS
Uggah berkata, undang-undang itu juga akan melihat kepada aspek melantik pegawai yang berkelayakan dalam undang-undang sebagai majistret dan hakim sepenuh masa. - Gambar fail/UKAS

Advertisement

SIBU: Kerajaan Negeri Sarawak sedang menggubal Rang Undang-Undang Mahkamah Bumiputera baharu bagi menyusun semula struktur pentadbiran dan bidang kuasa institusi kehakiman adat itu,

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata undang-undang itu juga akan melihat kepada aspek melantik pegawai yang berkelayakan dalam undang-undang sebagai majistret dan hakim sepenuh masa.

Beliau berkata cadangan penstrukturan semula itu turut dijangka membawa perubahan kepada peranan dan fungsi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), yang kini turut mengendalikan prosiding mahkamah adat pada peringkat komuniti.

"Persoalan yang masih belum jelas ialah apakah peranan KMKK dalam sistem Mahkamah Bumiputera yang akan dinaik taraf,” katanya ketika merasmikan Simposium Adat Iban 2026 di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengharapkan simposium itu menjadi platform membincangkan perkara berkenaan secara tersusun, Uggah berkata kerajaan negeri juga sedang menjalankan usaha mengkaji semula Adat Iban 1993 menerusi Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), dengan sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat, pejabat daerah dan pejabat residen di seluruh negeri dilaksanakan sejak 2021.

Beliau berkata sebarang cadangan pindaan perlu mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan bagi memastikan undang-undang adat kekal relevan dengan perkembangan semasa tanpa menjejaskan nilai dan prinsip asalnya.

Sementara itu, Uggah menggesa MAIS mengadakan perbincangan dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) supaya pengajian Adat Iban dapat dimasukkan dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Iban yang ditawarkan universiti berkenaan.

Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan pengetahuan mengenai adat terus dipelihara, didokumentasikan dan diwariskan kepada generasi muda.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement