Sarawak hantar pelajar ke UK, latih pakar semikonduktor

Abang Johari berkata, kerjasama itu bertujuan melatih anak tempatan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD, selain menyokong aktiviti penyelidikan dalam industri semikonduktor. - Bernama
KUCHING: Sarawak akan menghantar pelajar tempatan melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Bristol, United Kingdom sebagai usaha strategik melahirkan pakar dalam industri semikonduktor.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor, Universiti Bristol dan Yayasan Sarawak yang memeterai memorandum persefahaman (MOU) dalam satu acara diadakan di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama itu bertujuan melatih anak tempatan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD, selain menyokong aktiviti penyelidikan dalam industri semikonduktor.
Beliau berkata Sarawak berhasrat membangunkan industri semikonduktor yang bukan sahaja menggunakan teknologi sedia ada malah mampu membangunkan teknologi sendiri melalui kepakaran anak tempatan.
"Pada peringkat awal, kita akan menghantar tiga pelajar untuk melanjutkan pengajian PhD di Universiti Bristol, sama ada mereka yang telah mempunyai pengalaman atau yang mempunyai Ijazah Sarjana.
"Semestinya mereka yang terpilih ini akan berkhidmat dengan kerajaan negeri Sarawak selepas tamat pengajian, jumlah ini (tiga pelajar) juga akan kita tambah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara tersebut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


