KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengemukakan cadangan supaya jumlah Ahli Dewan Rakyat dari negeri itu ditambah bagi mewakili 35 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan dan telah disusuli dengan beberapa mesyuarat.

Ini termasuk dua Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi Membincangkan Cadangan Pindaan Perundangan Berkaitan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang diadakan di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak (FSO) pada 10 Ogos dan FSO Sabah pada 30 Okt.

"Sebarang keputusan yang dibuat di peringkat jawatankuasa kerja akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan seterusnya kepada Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk sokongan jawatankuasa itu," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sharifah Hasidah berkata sokongan jawatankuasa itu kemudiannya akan memberi laluan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, yang menyentuh komposisi Ahli Dewan Rakyat dipinda.

Beliau berkata pindaan itu akan memastikan perwakilan yang seimbang di Dewan Rakyat, selaras dengan semangat dan hasrat pembentukan Malaysia pada 1963.

Pada masa ini, 31 Ahli Parlimen atau hampir 14 peratus daripada 222 Ahli Dewan Rakyat adalah dari Sarawak.

-- BERNAMA