Sarawak perkukuh peranan sebagai hab tenaga hijau melalui Projek Penyambungan Grid Kuasa

Abang Johari menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Projek Penyambungan Grid Kuasa Elektrik Sarawak-Sabah di SICC hari ini. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai hab tenaga hijau dan pusat integrasi grid serantau melalui Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak
Ringkasan AI
- Sarawak memperkukuh peranannya sebagai hab tenaga hijau dan pusat integrasi grid serantau melalui Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak.
- Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menekankan kepentingan berkongsi sumber tenaga dengan Sabah, Brunei, dan Kalimantan bagi manfaat bersama.
- Projek ini menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif, meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik, serta memajukan objektif Dasar Peralihan Tenaga Sarawak, sambil menyumbang kepada matlamat peralihan tenaga Malaysia.
Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, bersama-sama menyempurnakan penghidupan talian penghantaran berkapasiti 275 kilovolt yang menghubungkan kedua-dua negeri di Borneo itu.
Bekalan elektrik telah mengalir daripada Sarawak ke Sabah sejak Disember tahun lepas susulan penyegerakan sistem berjaya dilakukan oleh pengendali grid kedua-dua negeri.
Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak juga sedang meneroka pembangunan sumber hidro berperingkat dan pemasangan solar terapung pada empangan sedia ada bagi meningkatkan kapasiti penjanaan kepada 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035.
Sejajar dengan Strategi Pembangunan Pascapandemik COVID-19 Sarawak 2030, Premier itu berkata projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, sambil meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik serta merangsang aktiviti ekonomi di kedua-dua negeri.
"Pada masa yang sama, ia memajukan objektif Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dengan membolehkan Sarawak berkongsi sumber tenaga boleh baharu, menyumbang kepada campuran tenaga yang lebih seimbang dan rendah karbon bagi rantau ini.
"Di peringkat nasional, projek ini turut menyumbang secara signifikan kepada matlamat peralihan tenaga Malaysia, memperkukuh keselamatan tenaga negara dan menunjukkan bagaimana kerjasama antara negeri menyokong matlamat kelestarian jangka panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NET-R)," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


