SRI AMAN: Kerajaan Negeri Sarawak bersedia untuk menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib 14 hari untuk setiap individu yang masuk ke negeri itu ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pihaknya akan mempertimbangkan untuk memansuhkan SOP berkenaan jika situasi COVID-19 di negeri itu mengizinkan.

“Sehingga hari ini kita masih menggunakan sistem kemasukan sedia ada yang mana mereka yang masuk daripada luar Sarawak akan menjalani kuarantin wajib 14 hari.

“Dalam masa yang sama kita akan mempertimbangkan dari semasa ke semasa mengikut situasi di Sarawak ini iaitu apabila kita beralih daripada pandemik ke endemik.

“Jika keadaan sedemikian maka, kebanyakan SOP yang sedang dikuatkuasakan oleh JPBNS akan dibubarkan. Namun kita belum boleh mengumumkannya sekarang,” jelasnya semasa sidang media bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Abang Johari dalam sidang media yang sama menegaskan, kerajaan negeri sentiasa mengawasi keadaan kesihatan di negeri itu sebelum sebarang keputusan berkenaan pembubaran beberapa SOP dibuat.

“Kita sedang mengawasi keadaan kesihatan di dalam negeri. Sekarang ini kebanyakan kes berada pada kategori satu dan dua.

“Jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yakin situasi ini membolehkan Sarawak melonggarkan SOP yang ditetapkan, kita kemudian boleh menilai semula perkara berkaitan terutama dari segi peraturan kemasukan ke Sarawak,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 melibatkan seramai 615 remaja berumur 16 dan 17 tahun di Dewan Suarah Sri Aman.

Secara keseluruhan daerah Sri Aman dan Lubok Antu akan memvaksin seramai 7,083 orang pelajar berusia 12 hingga 17 tahun secara berperingkat termasuk yang tidak bersekolah dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Untuk rekod, sehingga 9 September 2021, seramai 7,041 remaja di semua bahagian di negeri ini telah menerima suntikan vaksin jenis Phizer yang dijangka selesai pada minggu ke empat Oktober depan.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) remaja bermula 8 September lalu menyasarkan pemberian vaksin kepada seramai 289,200 remaja bersamaan 10.3 peratus dari seluruh populasi di Sarawak.