Golongan sasterawan memainkan peranan penting dalam membina Malaysia sebagai sebuah negara dan bangsa yang maju dan makmur, menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Cerpen,Puisi dan Novel ITBM-PENA-BH di kediaman rasmi beliau, di Sri Satria sini.

"Pembinaan negara bukan sahaja terletak pada kemajuan material, tetapi ia perlu seiring dengan kematangan pemikiran rakyat dan pembangunan jati diri bangsa yang mana salah satu caranya adalah melalui penulisan sastera," katanya.

"Sastera merupakan wadah terbaik yang dapat membentuk pemikiran masyarakat. Seperti ungkapan gurindam Melayu 'Jika hendak mengenal orang berbahasa, lihat kepada budi dan bahasa'."

Beliau menyatakan keyakinan bahawa sasterawan boleh mengajak rakyat untuk berkongsi segala hasrat dan aspirasi negara menerusi karya sastera.

Penganjuran sayembara sastera seperti ini, katanya, secara tidak langsung akan melahirkan lebih banyak penulis muda yang akan menjadikan medan sastera Malaysia lebih ekspresif, segar dan terbuka.

Tambah beliau, penulisan bukan sekadar menulis tetapi ia secara tidak langsung merekodkan sejarah, peristiwa, cantuman budaya bangsa, pertembungan antara idea kreatif dan fakta yang memberi maklumat kepada mereka yang tidak mengetahui.

"Sastera sebegini dianggap sebagai cermin yang membolehkan masyarakat khususnya anak-anak bangsa lita mengambil iktibar daripada kesilapan sejarah lampau."

Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan keterikatan dan kerjasama erat sasterawan dan kerajaan dalam merealisasikan misi nasional negara adalah kemuncak usaha untuk membina tamadun bangsa.

Beliau berkata golongan sasterawan sentiasa bersama kerajaan, dan tidak bersama pembangkang dalam membangunkan negara Malaysia.

"Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana, manakala pemimpin negara berada di haluan sini, ia adalah dakwaan yang tidak benar," katanya.

Beliau dipercayai memaksudkan "haluan sana" sebagai pembangkang, dan "haluan sini" sebagai kerajaan.