KUALA LUMPUR: Satu Creative melancarkan Creative Sprint 2026, program pembangunan perusahaan sosial yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dengan matlamat memperkukuh ekosistem perusahaan sosial berimpak tinggi di Malaysia.
Program itu disokong oleh beberapa rakan strategik termasuk Yayasan Hasanah, Bank Simpanan Nasional (BSN), Digital Penang, Malaysian Business Angels Network (MBAN) dan Artem Ventures yang menyediakan sokongan pembiayaan, akses pasaran, kepakaran pembangunan perniagaan serta pandangan pelaburan.
Bagi tahun ini, Creative Sprint 2026 memberi tumpuan kepada tiga tema utama iaitu laluan penjanaan pendapatan (Income Pathways), pemuliharaan warisan (Heritage Conservation) dan penyelesaian ekonomi kitaran (Circular Solutions).
Ketua Pegawai Eksekutif Satu Creative, Ahmad Azuar Zainuddin berkata Malaysia mempunyai ramai usahawan sosial yang berpotensi menghasilkan impak besar kepada komuniti, namun memerlukan sokongan ekosistem yang lebih kukuh untuk berkembang secara mampan.
Menurut beliau, program tersebut direka untuk memberikan lebih daripada sekadar pembiayaan dengan menyediakan akses kepada ilmu, rangkaian industri dan peluang kerjasama strategik yang mampu mempercepat pertumbuhan perusahaan sosial.
Peserta yang terpilih akan mengikuti siri pembangunan perniagaan intensif melibatkan usahawan berpengalaman, pelabur, pengamal industri serta peneraju ekosistem menerusi sesi bimbingan, bengkel praktikal dan latihan keusahawanan.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata pelaburan jangka panjang dalam pembangunan perusahaan sosial penting bagi mewujudkan impak sosial yang berkekalan dan membina komuniti yang lebih kukuh pada masa depan.
Permohonan bagi Creative Sprint 2026 kini dibuka kepada perusahaan sosial yang ingin memperkukuh model perniagaan serta meningkatkan impak mereka kepada masyarakat. Peserta yang terpilih akan menyertai Bootcamp Wilayah Tengah yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 hingga 20 Ogos 2026, sebelum meneruskan perjalanan pembelajaran mereka di Bootcamp Wilayah Utara di Pulau Pinang pada 8 hingga 10 September 2026.
Program intensif selama tiga hari ini direka untuk membimbing peserta melalui sesi pembangunan kapasiti, perkongsian ilmu daripada pakar industri, serta peluang jaringan strategik dengan pelbagai pihak dalam ekosistem perusahaan sosial.