GOMBAK: Kesihatan Datuk Hail Amir sebelum ini dalam keadaan baik malah sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri di Pulau Pinang baru-baru ini.

Anak bongsunya, Lufti Ameer Abdul Hail, 26, berkata, bapanya kelihatan seronok ketika beraya di sana, lebih-lebih lagi ketika bersama keluarganya.

Begitupun, katanya, beberapa hari selepas itu, bapanya dibawa ke hospital akibat batuk dan kemudian terpaksa dimasukkan ke wad untuk beberapa hari.

Menurutnya, sepanjang berada di hospital, bapanya masih mampu bercakap bahkan bergurau dengan anak-anaknya walaupun keadaan sedikit lemah.

Bagi Lufti Ameer, dia bersyukur kerana bapanya pergi dengan tenang, tanpa ada sebarang pembedahan dan kenangan mendengar bapanya menyanyi secara langsung akan terus tersemat di hati.

Personally saya rindu ikut dia pergi show, perform, saya akan rindu dengar dia menyanyi live.

“Kadang-kadang kami pergi ke karaoke, just for family, nyanyi sama-sama, ramai-ramai.

“Dia sememangnya seorang bapa yang penyayang dan sedikit tegas,” katanya ketika ditemui di Masjid Ukay Perdana di Gombak pada Isnin malam.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga, mewakili keluarganya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang menyokong karier bapanya dari dulu sehingga sekarang.

Sementara itu, menantu Hail, Muhammad Aiman Farhan Murza, 34, berkata, setiap hari, dia akan mendoakan kesejahteraan bapa mertuanya itu yang sememangnya cukup rapat dengannya.

Bahkan, tarikh 6 Mei akan terus diingati buat selamanya kerana tarikh itulah dia kehilangan bapa mertuanya dan tarikh itu juga merupakan tarikh hari lahir anaknya.

“Kebetulan hari ini hari jadi anak Aiman yang keempat. Semalam isteri saya pun ada cakap kat papa, papa cepat sihat, kita pergi sambut hari lahir Qisya. Hari lahir Qisya esok.

“Ok, baik Yana, baik, baik. Dia respons macam itu. Jadi apakan daya ini hari lahir anak saya, dia pergi hari ini.

“Jadi tarikh hari ini akan diingati dengan dua momen pemergian dia dan hari jadi anak saya,” ujarnya.

Hail meninggal dunia pada Isnin, jam 3.40 petang di HKL dan meninggalkan seorang balu serta empat anak.

Arwah dimasukkan ke hospital kira-kira tiga hari lalu akibat komplikasi paru-paru.

Seniman dalam satu kenyataan memaklumkan jenazah akan dikebumikan pada pagi Selasa di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.