KUALA LUMPUR: Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) adalah paksi yang penting dalam semua perancangan dan dasar bagi menangani isu pembangunan tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata ia juga bagi mengelak tragedi bencana alam di negara ini seperti banjir yang melanda baru-baru ini berulang pada masa hadapan.

"Sekiranya kita mengabaikan keseimbangan ini, padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi sepertimana yang kita lalui baru-baru ini, ataupun mungkin lebih teruk lagi. Ia melangkaui apa yang boleh diukur dari segi kewangan.

"Kerajaan tidak mampu untuk menangani perkara ini secara bersendirian. Sokongan padu amat diperlukan daripada semua pihak, selari dengan pendekatan senegara terutamanya apabila kita merujuk kepada SDG," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Yayasan Dana Amanah SDG Malaysia (MySDG) pada Khamis.

Ismail Sabri juga menjelaskan, sebagai salah satu daripada 193 negara yang telah menyertai Agenda 2030 pada tahun 2015, Malaysia telah mengemukakan dua Laporan Voluntary National Review kepada PBB.

Ujar beliau, laporan terkini mengenai pencapaian SDG itu telah dibentangkan pada Ogos 2021 yang lalu dan Malaysia telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam pembangunan SDG yang meliputi pelbagai aspek.

Namun Perdana Menteri menjelaskan, masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan, terutamanya bagi SDG yang melibatkan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan golongan rentan serta miskin tegar

Perdana Menteri berkata, penjajaran sepenuhnya yang dilaksanakan dalam bajet tahunan kerajaan, kerajaan dapat mengenal pasti jurang pembiayaan untuk mencapai aspirasi negara berkenaan SDG.

"Saya percaya, Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG akan dapat mengisi jurang ini, dan seterusnya membantu mempercepatkan pencapaian Agenda 2030," katanya lagi.

Katanya, SDG juga akan terus diintegrasikan sepenuhnya di dalam mekanisme dan dasar perancangan serta pembangunan negara.

Malah Perdana Menteri menjelaskan, SDG dan petunjuk prestasi negara telah dilakarkan sepenuhnya dalam pelan pembangunan lima tahun negara, bermula dengan Rancangan Malaysia KeSebelas (RMK-11).

"Melalui penjajaran penuh SDG ini, kerajaan dapat memantau segala kemajuan berkenaan usaha ini dengan lebih berkesan. Pada masa yang sama, penggemblengan sumber untuk menyokong SDG juga dapat dipastikan.

"Kerajaan juga telah membangunkan satu pangkalan data SDG secara dalam talian – disokong oleh satu rangka kerja institusi yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan," katanya.