GOMBAK: Tidak puas hati berkaitan penyebaran gambar bogel rakan suspek oleh mangsa menjadi motif kes bunuh seorang lelaki sebelum mayatnya ditemukan ditanam di belakang sebuah rumah di Sungai Choh, Rawang 23 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, susulan itu polis telah menahan lapan suspek terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 46 tahun.

"Kesemua suspek ditahan reman selama 13 hari mulai 24 Disember hingga esok (Jumaat) bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan sudah mendapat arahan tuduh ke atas enam suspek yang mana dua dituduh mengikut Seksyen 201 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan iaitu kesalahan melupuskan barang bukti," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

BACA: 'Dengar suami, abang ipar nak tanam mayat', polis tahan 3 beradik

Beliau berkata, lima suspek dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu kesalahan bunuh.

Tambah Noor Ariffin, dua suspek lain dibebaskan dan mereka dijadikan saksi pendakwaan.

"Kesemua suspek dituduh di Mahkamah Selayang pada hari ini (Khamis).

"Motif kejadian adalah tidak puas hati berkaitan penyebaran gambar bogel rakan suspek oleh mangsa," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut dipercayai dipukul dengan menggunakan kayu, botol dan tong besi oleh abang teman wanitanya kira-kira jam 11 pagi 23 Disember lalu. - Sinar Harian