Sebarang isu melibatkan negara yang hendak disebarkan oleh mana-mana media sosial mahupun portal berita perlu dianalisa secara terperinci supaya keamanan negara terus kekal dinikmati.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, penyebaran mengenai sesuatu isu tanpa dikaji selidik sebenarnya mampu merosakkan negara yang berdepan pelbagai cabaran untuk ke mercu kejayaan.

Menurutnya, kemerdekaan yang dikecapi rakyat Malaysia selain kehidupan harmoni pelbagai kaum tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak dan tindakan tegas perlu diambil.

Mengulas tentang penahanan bekas pengarah PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo yang cuba memeras ugut syarikat itu dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Idris menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan.

Sebelum ini, Justo dilapor menjual maklumat sulit milik PetroSaudi kepada beberapa individu yang membawa kepada penyiaran beberapa emel dan dokumen oleh portal berita Sarawak Report sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.

"Yang memberikan laporan-laporan yang telah diubah dan dimanipulasi ini semuanya mempunyai niat jahat untuk merosak imej Malaysia. Sekian lama rakyat hidup bersatu padu, perpaduan cukup jitu namun pihak ini tidak senang hati, jadi mereka bagi maklumat yang tidak berfakta, konon-kononnya Malaysia di ambang kebinasaan."

Idris berkata demikian semasa ditemui di rumah terbuka Aidilfitri ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abdul Rahman di Parit Perawas, Jasin.

Katanya, gerakan menyebarkan fitnah melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga perlu segera diambil tindakan tegas.

Beliau yang menyokong penuh kepimpinan Najib terus mengharapkan Malaysia diterajui dengan baik untuk melakar pelbagai kejayaan.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut memutuskan untuk menyekat laman sesawang Sarawak Report atas sebab mengganggu-gugat keselamatan negara.