KOTA KINABALU:Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) akan mengetuai pengurusan tebatan banjir di daerah Beaufort, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau menjelaskan, ia termasuk cadangan mendalamkan Sungai Padas dan menjajar semula tebing sungai tersebut.

"Kerajaan negeri akan mempertimbangkan semua cadangan kerana ia merupakan usaha berterusan kerajaan mengatasi masalah banjir di Beaufort," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Datuk Seri Mohd Dun Banir dan Dewan Pa' Musa pada Rabu, Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk membantu mangsa yang terjejas.


Seramai 217 mangsa daripada 68 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu susulan kejadian banjir.

"Hari ini, saya bertemu dengan mangsa banjir dan menyerahkan bantuan wang tunai RM500 serta bakul makanan," katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk di Beaufort supaya patuh dengan arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah.

Hajiji menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Beaufort pada Rabu.