Sekatan ekonomi bukan halangan Iran perluas dagang dengan Malaysia - Duta Iran

MOHAMMADI NASRABADI: Sekatan ini bukan sahaja memberi kesan terhadap Iran namun ke atas negara-negara lain yang ingin bekerjasama secara bebas antara kedua-dua pihak.
KUALA LUMPUR: Iran giat meneroka peluang memperkukuh hubungan perdagangan dengan Malaysia walaupun berdepan sekatan ekonomi yang menghambat aktiviti perniagaan antarabangsa.
Ringkasan AI
- Iran terus meneroka peluang untuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan Malaysia walaupun terjejas oleh sekatan ekonomi yang dikenakan AS selama hampir lima dekad.
- Sekatan ekonomi yang dikenakan AS kepada Iran menyebabkan kesulitan bagi negara lain yang ingin berniaga atau melabur di Iran, termasuk isu pemindahan wang dan kesukaran membuka akaun bank.
- Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, menyatakan rancangan untuk meningkatkan penerbangan Iran-Malaysia sebagai langkah perintis bagi kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara.
Tambahnya, di pihak Iran pula tidak dapat mengeksport barangan atau berdagang secara bebas, sehingga negara lain terpaksa mendapatkan bekalan dari sumber lain.
“Sekatan ini bukan sahaja memberi kesan terhadap Iran namun ke atas negara-negara lain yang ingin bekerjasama secara bebas antara kedua-dua pihak,” katanya ketika sidang media di Kedutaan Iran hari ini.
Mohammadi Nasrabadi turut menyatakan Republik Islam itu merancang untuk menambah jumlah penerbangan Iran-Malaysia sebagai perintis kepada kerjasama yang lebih giat antara rakyat kedua-dua negara.
“Kami telah memulakan penerbangan terus dari Tehran pada Disember untuk satu penerbangan setiap minggu.
"Kami berusaha menambah penerbangan dari syarikat lain kerana rakyat Iran gemar melancong ke negara lain dan Malaysia terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan,” katanya.
Pada Jun 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan harapan agar pihak Iran dapat menyambung semula operasi penerbangan terus dari Tehran ke Kuala Lumpur yang dapat membuka lebih banyak peluang dan ruang bagi hubungan ekonomi dan antara rakyat ke rakyat (people to people).
Untuk rekod, syarikat penerbangan Iran, Mahan Air, menghentikan operasi penerbangan terus ke Kuala Lumpur pada 2022 berikutan sekatan bahan api yang dikenakan.
Masalah ini timbul kerana pembekal bahan api di Malaysia terpaksa mematuhi tekanan sekatan AS, sekali gus menyebabkan semua penerbangan terus dari Tehran ke Kuala Lumpur dihentikan.
Sidang media tersebut diadakan bersempena Hari Kebangsaan Iran yang akan disambut pada 10 Februari depan di tengah-tengah kemelut ketegangan antara Iran dan AS yang semakin memuncak.
Mohammadi Nasrabadi berkata Iran akan terus komited untuk memastikan laluan perdagangan utama dunia di Teluk Parsi kekal aman tanpa sebarang konflik tercetus.
“Kami sentiasa menegaskan bahawa kami tidak ingin meletakkan sebarang halangan bagi perdagangan antara kedua-dua pihak.
"Namun, jika berlaku perang, situasinya berbeza kerana kapal tidak dapat bergerak pergi dan balik akibat konflik,” katanya.
Menurutnya Iran merupakan pengeksport utama gas dan petroleum dan jika tiada sekatan dikenakan ke atas negara itu, ia dijangka bakal menjadi negara yang sangat berpengaruh.
Antara faktor AS mengenakan sekatan ekonomi adalah kerana negara itu didakwa mengembangkan program nuklearnya melebihi keperluan tenaga, yang berpotensi membawa kepada pembentukan senjata nuklear.
Malah AS turut mendakwa Iran menyokong kumpulan yang disifatkan sebagai pengganas yang boleh mengancam keselamatan di Asia Barat.
Namun Mohammadi Nasrabadi menegaskan Iran hanya menyokong perjuangan rakyat Palestin dari cengkaman rejim Zionis Israel, dan bukan kumpulan pengganas.
“Mereka tiada bukti untuk menyokong dakwaan tersebut,” katanya lagi.
Pada awal Januari Presiden AS, Donald Trump turut mengumumkan akan mengenakan tarif 25 peratus terhadap negara yang berdagang dengan Iran.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun Trump mempunyai hak untuk melaksanakan dasar tersebut, langkah itu jelas memporak-perandakan ekonomi global dan menjejaskan kestabilan perdagangan antarabangsa.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah kesan sekatan ekonomi yang dikenakan AS ke atas Iran terhadap hubungan perdagangan dengan Malaysia? A: Sekatan ekonomi AS ke atas Iran menyebabkan kesukaran dalam pemindahan wang dan membuka akaun bank bagi negara lain yang ingin berniaga atau melabur di Iran, menghalang aktiviti perniagaan antarabangsa termasuk dengan Malaysia.
- Q: Mengapakah syarikat penerbangan Iran, Mahan Air, menghentikan operasi penerbangan terus ke Kuala Lumpur pada 2022? A: Mahan Air menghentikan operasi penerbangan terus ke Kuala Lumpur pada 2022 disebabkan oleh sekatan bahan api yang dikenakan, menyebabkan pembekal bahan api di Malaysia terpaksa mematuhi tekanan sekatan AS.
- Q: Apa harapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap operasi penerbangan terus dari Tehran ke Kuala Lumpur? A: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar pihak Iran dapat menyambung semula operasi penerbangan terus dari Tehran ke Kuala Lumpur untuk membuka lebih banyak peluang hubungan ekonomi dan antara rakyat ke rakyat antara kedua-dua negara.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

