SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa Selangor telah mencatatkan jumlah nilai pelaburan melebihi RM22.45 bilion dengan 411 projek perkilangan diluluskan bagi tempoh Januari 2020 sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim berkata daripada jumlah tersebut sebanyak RM10.43 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan RM12.02 bilion daripada pelaburan asing.

"Sebanyak 27,491 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan (berdasarkan pelaburan dalam tempoh itu)," katanya menjawab pertanyaan Datuk Rosni Sohar (BN-Hulu Bernam) pada persidangan DUN Selangor, hari ini.

Rosni ingin tahu jumlah nilai pelaburan yang masuk ke Selangor sejak Januari 2020 sehingga kini mengikut kategori dan jenis pelaburan, dan usaha kerajaan negeri untuk memastikan pelaburan di Selangor sentiasa diyakini pelabur.

Teng berkata kerajaan negeri melalui Invest Selangor selaku agensi penggalakan pelaburan sentiasa melaksanakan pelbagai program dalam usaha memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini.

Jelasnya, kerajaan negeri melaksanakan program menerusi pelbagai kaedah seperti webinar, persidangan dan pameran secara maya serta program secara fizikal mengikut prosedur operasi standard yang telah digariskan.

"Antara usaha yang dilaksanakan dalam memastikan sektor pelaburan terus berkembang di Selangor adalah perancangan strategik dengan pelaksanaan pelan tindakan seperti pelaksanaan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Negeri Selangor dan penyediaan Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor.

"Kerajaan negeri melalui jawatankuasa tetap telah melaksanakan sebanyak 121 program atau aktiviti bagi menggalakkan aktiviti pelaburan baharu dan penambahan pelaburan sedia ada bagi tempoh Jan hingga Julai 2021," katanya.

-- BERNAMA