KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor merancang untuk membangunkan tenaga kerja sifar bersih dengan memperluas modul latihan yang ditawarkan Sekolah Digital Selangor (SDS).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu akan membolehkan negeri mencapai keneutralan karbon dan mempercepat penerapan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam tadbir urus, strategi perniagaan dan pengurusan operasi di Selangor.

"Ini akan memberikan manfaat yang besar kepada orang ramai memandangkan kita boleh nyahkarbon dengan pesat dan pada masa sama mengurangkan bil tenaga isi rumah dan subsidi bahan api," katanya semasa berucap pada perasmian Persidangan Bandar Pintar Asia: Sidang Kemuncak Datuk Bandar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Persidangan itu merupakan antara elemen teras Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2022 anjuran kerajaan negeri Selangor menerusi Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Selangor (SIDEC), sempena Sidang Kemucak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).

SDS ditubuhkan untuk menangani kekurangan bakat digital di Selangor menerusi kerjasama antara Penjana Kapital Sdn Bhd; SIDEC; The Hive Southeast Asia; EZT Group dan Digital Marketing Consultancy.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta dalam dana modal teroka menerusi Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) untuk mempercepat pertumbuhan syarikat pemula niaga Selangor terutama dalam bidang sifar bersih, ekonomi sirkular dan bandar pintar.

BACA: SIBS 2022: Bantu usahawan, pacu Selangor jadi hab pelaburan Asia 

Selangor juga mempunyai sejumlah syarikat pemula niaga yang dibimbing menerusi Program Pemecut Selangor, yang bersedia untuk menggalakkan tenaga bersih dan alternatif di samping menerajui peralihan kepada ekonomi sirkular.

Amirudin berkata Malaysia mempunyai begitu banyak potensi dari segi membangunkan sumber tenaga boleh baharu seperti solar, bahan api bio dan biojisim.

"Kita gembira melihat syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas, Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, FGV Holdings Bhd dan syarikat lain mula meneroka bidang tenaga boleh baharu dengan mewujudkan usaha niaga serta melabur ke dalam syarikat pemula niaga ESG," katanya.

Beliau berkata perubahan alam sekitar disebabkan kepesatan urbanisasi mengakibatkan gelombang haba, kemarau panjang, hujan lebat, banjir kilat dan kebakaran hutan yang boleh membawa maut, telah mengajar dunia mengenai keperluan daya tahan, kemampanan dan pendigitalan.

"Bencana perubahan iklim ini bukan hanya menyebabkan kehilangan nyawa dan krisis ekonomi malah juga mendatangkan malapetaka bekalan makanan dan tenaga.

"Melaksanakan inisiatif bandar pintar dilihat menjadi usaha ke hadapan memandangkan bandar-bandar ini menumpukan infrastruktur fizikal, sosial, ekonomi dan institusi pintar serta alat digital untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka," katanya.

Mengikut Pelan Tindakan Selangor Pintar 2025, kerajaan negeri menerajui penggunaan teknologi digital pintar melalui empat domain utama iaitu Kerajaan Pintar, Ekonomi Pintar, Komuniti Pintar dan Infrastruktur Digital Pintar dalam merealisasikan wawasan Selangor sebagai Negeri Pintar Berdaya Huni di ASEAN menjelang 2025.

-- BERNAMA