SHAH ALAM : Kerajaan negeri menyenarai hitam 12 pembekal lembu dan kambing bagi Program Sumbangan Korban Negeri Selangor pada tahun lepas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia selepas kerajaan negeri menerima banyak aduan membabitkan binatang korban diterima lewat selain saiz lembu dan kambing tidak memenuhi syarat.

"Pembekal yang tiada masalah akan diteruskan kerjasama namun perlu juga melalui proses pemilihan teliti yang dilaksanakan oleh jawatan kuasa induk.

"Semua pembekal terpilih adalah daripada Selangor yang telah diaudit dan kandang mereka diperiksa," katanya pada Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta bagi sumbangan 700 lembu dan 1,000 kambing bagi ibadah korban tahun ini.

Ujarnya, lebih 300 masjid menerima manfaat tersebut selain surau, institusi serta agensi sempena Aidiladha hujung bulan ini.

"Kerajaan negeri berbelanja RM6 juta berbanding lebih RM5 juta tahun lalu disebabkan pertambahan jumlah haiwan yang kita sumbangkan selain peningkatan harga lembu dan kambing tahun ini.

"Setiap masjid terpilih akan menerima sekurang-kurangnya satu ekor lembu. Pemilihan sumbangan ditentukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menumpukan lokaliti yang mempunyai ramai asnaf atau golongan berpendapatan rendah (B40)," katanya.

Dalam pada itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, seramai 28 pembekal lembu dan 20 pembekal kambing dipilih bagi Program Sumbangan Korban Negeri Selangor tahun ini.

Katanya, peruntukan program turut mendapat kerjasama daripada sembilan anak syarikat kerajaan negeri antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), KDEB Waste Management, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Central Spectrum.

Beliau berkata, peruntukan pada tahun ini meningkat berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000 selain jumlah lembu korban meningkat daripada 660 ekor kepada 700 ekor. - Sinar Harian