Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan kesyukuran kerana anggota UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta rakyat yang menerima baik rombakan kabinet yang diumumkan Selasa lalu.

Katanya dengan selesainya proses rombakan itu, kerajaan kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada matlamat untuk membangun dan memacu Malaysia ke arah negara maju dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Dengan selesainya proses tersebut, maka kita boleh bergerak ke hadapan. Saya tidak mahu kita hilang arah dan fokus.

"Kita mesti kembali kepada mengapa, kenapa dan apakah objektif serta matlamat yang hendak diperjuangkan sebagai anggota parti dan kerajaan," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini.

INFOGRAFIK: Kabinet Baru 2015

BACA: Kabinet dirombak, Peguam Negara diganti, siasatan PAC jadi tanda tanya

Dalam ucapannya, Najib juga berharap semua barisan kepimpinan negara dan parti supaya sentiasa prihatin dan memikirkan kehendak dan keinginan rakyat untuk menjadikan negara lebih makmur dan maju.

Majlis berkenaan turut hadiri Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dalam ucapannya Najib turut mengucapkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Hassan Malek dan semua yang tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.