SHAH ALAM: Bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 masih belum dituntut biar pun sudah lebih seminggu selepas dijumpai di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, 20 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat hari ini pemiliknya masih belum tampil.

"Bagasi itu masih belum dituntut dan kita (polis) masih menunggu pemiliknya hadir," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.



Isnin lalu, Hussein memaklumkan seorang pengarah syarikat teknologi maklumat (IT) yang mendakwa bagasi terbabit adalah miliknya masih belum tampil kepada pihak polis untuk memberi keterangan atas faktor kesihatan.

Polis telah menerima laporan yang dibuat syarikat itu pada 21 Mac di Shah Alam.

Namun, pengarah syarikat terbabit dilaporkan belum tampil untuk memberi keterangan kepada Ketua Polis Balai Damansara sebagai bukti dan rekod mengenai pengesahan wang tunai itu.

Minggu lalu, dalam sidang akhbar, Hussein memberitahu seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya menemui bagasi terbabit di tempat meletak kenderaan di premis tersebut.

Pemeriksaan pada beg bagasi warna merah jambu dan putih bersaiz sederhana itu berisi nota wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian