Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Simi Abdul Ghani hari ini hadir ke Kompleks Pejabat SPRM Johor di Tampoi di sini, dipercayai berkaitan siasatan kes rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Simi dipercayai berada di kompleks itu selama empat jam selepas tiba kira-kira 10.40 pagi.

Ketika dihubungi, Simi mengesahkan kehadirannya di kompleks berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

BACA: Exco negeri Johor, Abd Latif Bandi bercuti mulai hari ini

BACA: MB Johor serah kepada SPRM siasat kes penyelewengan hartanah

BACA: SPRM tahan enam termasuk anak pegawai kerajaan negeri Johor

Pada 24 Feb lepas, enam lelaki termasuk anak dan pegawai khas seorang exco kerajaan negeri Johor ditahan SPRM dipercayai terlibat dengan skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu.

Kesemua mereka disyaki bersubahat dalam kes pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis di Johor.

Semalam, SPRM menahan seorang kontraktor lelaki yang dipercayai suspek ketujuh kes tersebut.

Setakat semalam, SPRM telah merekodkan keterangan lebih 15 saksi bagi membantu siasatan kes itu. -- Bernama