MALAYSIA
Semakan kenaikan kadar Elaun 'On-Call' dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly Ahmad berkata penambahbaikan seperti itu akan terus diusahakan secara berkala mengikut keadaan semasa. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan semakan kenaikan kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan agar pelaksanaannya dapat direalisasikan pada 2026.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penambahbaikan seperti itu akan terus diusahakan secara berkala mengikut keadaan semasa.
"KKM sentiasa berusaha untuk menambah baik pemberian insentif serta kebajikan kakitangan dan petugas kesihatan dengan menjalankan pelbagai kajian elaun dan kemudahan termasuk kenaikan kadar ETAP," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata warga kerja termasuk petugas kesihatan di KKM kini menerima pelbagai jenis elaun antaranya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Pakar, Elaun Bertugas Selepas Waktu Pejabat di Klinik Kesihatan dan Klinik Rawatan Pesakit di Jabatan Kecemasan Hospital (Elaun Locum), Elaun Pembedahan Elektif serta yang terkini, Bayaran Insentif Pakar Pra Warta (BIPPW).Dzulkefly berkata secara umumnya, warga kerja lantikan tetap merentas skim perkhidmatan di KKM termasuk di Sabah dan Sarawak menerima pelbagai jenis elaun dan insentif mengikut kelayakan berdasarkan peraturan semasa yang berkuat kuasa.
Antaranya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara, Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan dan Pakar Pergigian di fasiliti kesihatan di Sabah, Sarawak dan Labuan, Elaun Pentadbiran Hospital, Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan, Bayaran Insentif Pedalaman serta Elaun Balik Kampung.
Turut diterima Imbuhan Tetap Perumahan, Bayaran Imbuhan Sara Hidup, Imbuhan Tetap Khidmat Awam, Imbuhan Tetap Keraian, Bayaran Imbuhan Perumahan Wilayah, Bayaran Imbuhan Wilayah, Tambang Ziarah Wilayah, Elaun Waktu Bekerja Fleksi bagi pegawai perubatan siswazah serta perkhidmatan sessional pakar perubatan swasta di hospital KKM.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami