KUCHING: Jumlah rakyat Sarawak yang pulang ke negeri itu bagi menyumbang kepada pembangunan Sarawak semakin meningkat, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pada ketika Sarawak kini bersedia menjadi hub industri semikonduktor, beliau berkata sejumlah 20 jurutera yang pengkhususan mereka dalam industri itu, telah kembali dari luar bagi merealisasikan usaha negeri itu dalam mereka bentuk dan menghasilkan mikrochip yang mempunyai permintaan tinggi.

"Pada masa ini, kita kekurangan pereka bentuk (chip), kerana kita telah pun membina Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor. Kita memerlukan ramai jurutera dan kita telah mengambil 20 (rakyat Sarawak) yang akan pulang dari luar negara.

"Kita memerlukan 30 lagi jurutera (rakyat Sarawak) untuk sebuah syarikat semikonduktor, X-Fab," katanya ketika berucap di majlis makan malam Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak, di sini malam tadi.

Abang Johari memetik sebuah artikel dari The Staits Times yang baru-baru ini melaporkan bahawa ramai rakyat Sarawak yang berkerja di Kuala Lumpur dan Singapura, telah pulang ke negeri itu disebabkan peningkataan peluang dalam keusahawanan.

"Perkara itu benar .... dengan projek methanol di Sarawak, jurutera kita kini pulang. Di Sarawak Metro Sdn Bhd, terdapat ramai yang bekerja di Kuala Lumpur dan kembali," katanya.

Anugerah yang sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri, PSIEA, merupakan anugerah penghargaan korporat tertinggi di Sarawak dan telah diperkenalkan pada 2017.

Tahun ini anugerah ini dihos dan dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Sarawak dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan disokong oleh kerajaan Sarawak.

-- BERNAMA